[TERKINI] PM Anwar Umum Penghargaan Luar Biasa kepada Rakyat, 10.30 Pagi Esok – Info Terkini Di Sini
DUNIA

GCC desak masyarakat antarabangsa bertindak segera tamatkan sekatan ke atas Gaza

Bernama 21/07/2025 | 21:20 MYT
Majlis Kerjasama Teluk mengecam terhadap sekatan berterusan yang tidak adil, tidak berperikemanusiaan dan menyalahi undang-undang yang dikenakan oleh tentera pendudukan Israel ke atas Semenanjung Gaza. - Gambar Reuters
RIYADH: Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menyatakan kecaman dan penolakannya yang tegas terhadap sekatan berterusan yang tidak adil, tidak berperikemanusiaan dan menyalahi undang-undang yang dikenakan oleh tentera pendudukan Israel ke atas Semenanjung Gaza serta tindakan menghalang kemasukan semua bentuk bantuan kemanusiaan, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Setiausaha Agung GCC, Jasem Mohamed Albudaiwi menegaskan, sekatan itu telah menyebabkan malapetaka kemanusiaan yang semakin meruncing.

Beliau berkata, situasi itu tergambar melalui penularan kebuluran serta kehabisan bekalan makanan dan perubatan, sekali gus menjadi pelanggaran nyata terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Konvensyen Geneva dan prinsip hak asasi manusia, selain cabaran terang-terangan terhadap masyarakat antarabangsa.

Albudaiwi menegaskan, GCC meletakkan pihak berkuasa penjajah Israel sebagai bertanggungjawab sepenuhnya atas tragedi kemanusiaan yang berterusan di Semenanjung Gaza, termasuk dasar kebuluran kolektif yang dilakukan ke atas saudara-saudara mereka di Gaza.

"Tindakan ini merupakan jenayah perang yang menyeluruh dan memerlukan akauntabiliti segera daripada masyarakat antarabangsa," katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa - termasuk semua negara, institusi dan pertubuhannya - agar segera bertindak tegas untuk menghentikan sekatan kejam ini, menghentikan jentera pembunuhan dan kebuluran, memastikan kemasukan bantuan kemanusiaan segera, membuka lintasan sempadan tanpa lengah dan menyelamatkan nyawa orang awam yang tidak bersalah daripada bencana tertentu.

Selain itu, Setiausaha Agung GCC turut mengulangi pendirian teguh negara-negara anggota GCC dalam menyokong hak rakyat Palestin yang sah.

"Termasuklah hak mereka untuk hidup bermaruah, bebas, menentukan nasib sendiri dan mencapai keamanan yang adil serta berkekalan selaras dengan resolusi kesahihan antarabangsa dan Inisiatif Keamanan Arab," katanya.

-- BERNAMA



#sekatan gaza #Majlis Kerjasama Teluk #israel serang gaza #rakyat Palestin