Gejala sakit perut, kapal persiaran bawa 3,000 penumpang dikuarantin

Bernama
Februari 26, 2024 06:45 MYT
Sebilangan kecil tetamu kapal Norwegian Dawn mengalami gejala sakit perut semasa pelayaran 12 hari dari Afrika Selatan. - Gambar/ Pixabay
DAKAR: Lebih 2,000 penumpang dan 1,000 kru kapal terkandas di atas sebuah kapal persiaran di perairan Mauritius, kata syarikat Amerika Syarikat (AS), Norwegian Cruise Line pada Ahad.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata sebilangan kecil tetamu kapal Norwegian Dawn mengalami gejala sakit perut semasa pelayaran 12 hari dari Afrika Selatan.
"Atas sebab keperluan ujian tambahan oleh pihak berkuasa tempatan sebelum dibenarkan masuk, kerajaan Mauritius telah menangguhkan pendaratan bagi pelayaran semasa dan kemasukan bagi pelayaran seterusnya selama dua hari hingga 27 Feb 2024," kata syarikat itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kebanyakan penumpang dijadual untuk memulakan perjalanan pulang mereka pada Ahad, manakala pengembara baharu dijadual untuk menaiki kapal di ibu negara Mauritius, Port Louis.
Bagaimanapun dalam surat bertarikh Ahad, kapten kapal memaklumkan kepada penumpang bahawa mereka tidak akan meninggalkan kapal di Port Louis buat masa ini.
Sementara itu, syarikat itu berkata mereka telah meningkatkan langkah-langkah kebersihan di atas kapal sebagai sebahagian daripada langkah rutin untuk memastikan persekitaran yang selamat.
-- BERNAMA
#kapal persiaran #gejala sakit perut #kuarantin #Mauritius