Pejabat pendakwa raya khas Korea Selatan pada Jumaat mendesak pemangku presiden campur tangan bagi memberi kelulusan kepada pihaknya untuk menggeledah Blue House atau tempat kediaman Presiden.

Ia perlu dilakukan sebagai sebahagian daripada proses siasatan ke atas kes skandal rasuah melibatkan Presiden Park Geun-Hye.

Terdahulu hari ini, Blue House telah menghalang pasukan penyiasat daripada memasuki bangunan tersebut selain menafikan keperluan waran geledah, atas sebab-sebab keselamatan.

Jurucakap pendakwa raya khas, Lee Kyu-Chul memberitahu wartawan bahawa pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengatasi halangan pejabat presiden.

Walaupun begitu, mereka percaya kelulusan daripada pemangku presiden Hwang Kyo-Ahn boleh membantu mereka menjalankan siasatan seperti yang dikehendaki.

Jurucakap Blue House pula berkata, mereka akan memberi dokumen yang dikehendaki pihak penyiasat hanya apabila diminta secara khusus, namun tidak sekali-kali akan membenarkan penggeledahan dibuat sewenang-wenangnya.

Hwang, yang juga bertindak sebagai perdana menteri, menjadi pemangku presiden setelah Parlimen membenarkan Park disiasat atas tuduhan salah guna kuasa dan rasuah, sekali gus dilucutkan kuasanya dari tampuk pentadbiran tertinggi negara itu.

Buat masa ini, Park menunggu keputusan mahkamah yang menentukan nasibnya.