DUNIA
Gelombang haba di Eropah ragut nyawa
Media melaporkan beberapa kawasan di Perancis mencatatkan suhu tertinggi pernah direkodkan pada bulan Julai. - Foto REUTERS
BERLIN: Dua orang maut akibat masalah berkaitan haba di Perancis manakala lebih 300 orang menerima rawatan kecemasan ketika sebahagian besar Eropah dilanda gelombang haba, kata Menteri Alam Sekitar Perancis Agnes Pannier-Runacher pada Rabu, lapor agensi berita Jerman dpa.
Ringkasan AI
- Dua maut dan lebih 300 cedera akibat gelombang haba di Perancis, dengan suhu melebihi 41 darjah Celsius di beberapa kawasan, manakala amaran merah masih berkuat kuasa di empat wilayah.
- Di Sepanyol, kebakaran besar akibat cuaca panas mengorbankan dua orang, memusnahkan 5,000 hektar tanah, dan memaksa ribuan penduduk dipindahkan, namun kebakaran kini terkawal.
- Di Switzerland, salah satu reaktor loji kuasa nuklear Beznau dihentikan operasi kerana suhu air sungai yang tinggi, bagi melindungi ekosistem Sungai Aare daripada kesan haba.
Sebahagian besar Perancis mengalami haba melampau pada Selasa, dengan tahap amaran tertinggi diaktifkan di 16 wilayah termasuk Paris. Suhu mencecah lebih 41 darjah Celsius di selatan dan tengah Perancis, manakala ibu negara mencatatkan 38 darjah.
Media melaporkan beberapa kawasan di Perancis mencatatkan suhu tertinggi pernah direkodkan pada bulan Julai.
Tahap amaran tertinggi, iaitu merah, kini hanya berkuat kuasa di empat kawasan, walaupun suhu dijangka mencecah sehingga 39 darjah Celsius. Beberapa sekolah masih ditutup, dengan cuaca dijangka beransur reda pada Khamis.
Di Jerman, perkhidmatan meteorologi meramalkan hari paling panas tahun ini setakat ini, dengan suhu dijangka mencecah 40 darjah Celsius.
Sementara itu di Sepanyol, kebakaran besar semasa gelombang haba telah meragut dua nyawa di kawasan ladang dan belukar.
Mayat seorang petani dan pekerjanya ditemukan semasa operasi memadam kebakaran di kawasan Torrefeta berhampiran bandar Cosco, Catalonia, umum kerajaan wilayah lewat Selasa.
Mangsa dipercayai terperangkap dalam kenderaan mereka dan sempat membuat panggilan kecemasan sebelum ditemukan.
Kebakaran yang berlaku kira-kira 90 kilometer barat laut Barcelona itu telah memusnahkan sekurang-kurangnya 5,000 hektar tanah, menurut laporan media.
Ratusan anggota bomba telah dikerahkan dan kira-kira 20,000 penduduk di kawasan terjejas dinasihatkan supaya tidak keluar rumah, dengan sebahagian daripada mereka dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Kebakaran tersebut bermula pada Selasa di tanah pertanian yang kering akibat cuaca panas, dan puncanya masih belum dikenal pasti. Dipacu angin kencang, api merebak pada kelajuan sehingga 30 kilometer sejam melalui kawasan ladang gandum, lapor akhbar Segre.
Asap dan abu tebal setinggi 14 kilometer terbentuk dan dibawa angin kencang ke bandar Lleida, kira-kira 60 kilometer dari lokasi kebakaran.
Pasukan bomba memaklumkan di X bahawa kebakaran kini berjaya dikawal.
Sementara itu di Switzerland, satu daripada reaktor di loji kuasa nuklear Beznau berhampiran sempadan Jerman telah dihentikan operasinya akibat suhu air sungai yang tinggi, menurut syarikat pengendali Axpo pada Rabu. Reaktor kedua pula beroperasi pada kapasiti separuh.
Langkah itu diambil untuk melindungi ekosistem Sungai Aare selaras dengan peraturan alam sekitar yang ketat.
"Pemanasan melampau pada saluran air yang sedia panas perlu dielakkan semasa musim panas supaya tidak memberi tekanan tambahan kepada flora dan fauna," menurut kenyataan Axpo.
Sungai tersebut membekalkan air penyejuk untuk loji kuasa nuklear yang kemudian dikembalikan ke sungai pada suhu yang sedikit lebih tinggi.
Dua reaktor di Beznau itu mula beroperasi pada 1969 dan 1971, menjadikannya antara loji kuasa nuklear paling lama masih beroperasi di dunia.
-- BERNAMA