OTTAWA: Sekurang-kurangnya 233 orang dilaporkan maut akibat cuaca panas melampau yang melanda wilayah British Columbia, barat Kanada sejak Jumaat lalu.

Ketua Koroner wilayah, Lisa Lapointe menyifatkan perkembangan itu sebagai yang tidak pernah berlaku, iaitu gelombang haba berpanjangan.

"Sejak impak gelombang haba minggu lalu, Perkhidmatan Koroner BC menerima lonjakan laporan kematian yang disyaki berpunca daripada keadaan cuaca ekstrem," ujar Lapointe dalam satu kenyataan.

Lazimnya, pihaknya menerima kira-kira 130 kematian dalam tempoh empat hari.

Lapointe berkata, angka tersebut akan meningkat dan akan sentiasa dikemas kini, termasuk mengumpulkan maklumat bagi menentukan punca kematian khususnya yang berkaitan cuaca.

"Pendedahan terhadap haba persekitaran boleh menyebabkan kesan teruk atau kematian, terutamanya dalam kalangan warga tua, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik," tambah kenyataan itu.

Pihak berkuasa juga mengesan kenaikan mendadak kes kematian bagi Vancouver, Burnaby dan Surrey.

Sementara itu, banyak kedai di British Columbia kehabisan stok penyaman udara dan kipas angin, malah di beberapa lokasi, kamar hotel juga penuh ditempah apabila penduduk tempatan mahu lari daripada cuaca panas.

Suhu kali ini adalah tertinggi berbanding 59 kejadian gelombang haba yang melanda Kanada sebelum ini.

Gelombang haba kini bergerak ke timur.