DUNIA

Gelombang haba di Victoria, Australia pecah rekod suhu

Bernama 27/01/2026 | 13:56 MYT
Rekod suhu tertinggi sepanjang masa di negeri Victoria, tenggara Australia dipecahkan pada Selasa ketika negeri itu dilanda gelombang haba yang teruk. - Foto REUTERS
MELBOURNE: Rekod suhu tertinggi sepanjang masa di negeri Victoria, tenggara Australia dipecahkan pada Selasa ketika negeri itu dilanda gelombang haba yang teruk, lapor Xinhua.

Pekan kecil Walpeup, kira-kira 400 kilometer barat laut Melbourne, serta lapangan terbang di pekan berdekatan Hopetoun masing-masing merekodkan suhu maksimum 48.9 darjah Celsius pada petang Selasa, menurut Biro Meteorologi (BoM).

Bacaan itu melepasi rekod tertinggi Victoria sebelum ini iaitu 48.8 darjah Celsius yang dicatatkan di Lapangan Terbang Hopetoun pada Februari 2009.

Rekod baharu itu dicatatkan ketika Victoria dilanda gelombang haba paling teruk sejak 2009 pada Selasa, dengan suhu di kebanyakan kawasan melebihi 40 darjah Celsius.

Suhu maksimum 44.1 darjah Celsius direkodkan di Lapangan Terbang Melbourne sejurus selepas 3.30 petang waktu tempatan.

Pihak berkuasa tempatan menggesa penduduk di seluruh negeri itu agar kekal terhidrat dan mengambil langkah melindungi diri daripada haba melampau, yang boleh menyebabkan masalah kesihatan berbahaya dan berpotensi membawa maut seperti keletihan haba, strok haba, serta mencetuskan serangan jantung atau angin ahmar.

Perintah pemindahan dikeluarkan pada Isnin melibatkan lebih 1,100 hartanah di Carlisle River dan bandar sekitarnya berikutan ancaman cuaca ekstrem.

Suhu diramalkan menurun dengan ketara di Melbourne dan selatan Victoria pada Selasa malam, namun BoM memberi amaran yang suhu maksimum di bahagian utara negeri itu dijangka kekal melebihi 40 darjah Celsius selama beberapa hari.

--BERNAMA-XINHUA






#gelombang haba #rekod suhu tertinggi #Victoria #Australia