DUNIA
Gelombang haba melampau cetus darurat iklim seluruh dunia

Di seluruh Eropah, sekurang-kurangnya lapan kematian berkaitan haba dilaporkan di beberapa negara termasuk Sepanyol dan Itali, ketika benua itu terus dilanda gelombang haba yang melampau. - Gambar fail/AP
BEIJING: Amaran baharu mengenai gelombang haba mencetuskan kebimbangan di seluruh dunia apabila negara di Eropah dan Asia Barat berdepan cuaca panas terik melampau minggu ini, memaksa banyak negara mengisytiharkan darurat iklim, lapor Xinhua.
Menurut Perkhidmatan Meteorologi Kebangsaan Iran, negara itu sedang mengalami minggu paling panas tahun ini, dengan suhu melebihi 50 darjah Celsius. Di Tehran, suhu melonjak sehingga 40 darjah pada Ahad.
Ketika gelombang haba berterusan, pihak berkuasa air Tehran menggesa penduduk mengurangkan penggunaan air sekurang-kurangnya 20 peratus, sambil memberi amaran yang paras empangan yang membekalkan air ke ibu kota kini berada pada "paras terendah dalam tempoh satu abad."
Lebih 3,500 kilometer di sebelah barat Tehran, ibu kota Greece, Athens, turut mengalami gelombang haba berpanjangan pertama bagi musim panas tahun ini.Jisim udara panas dari Afrika Utara tiba lebih awal daripada kebiasaan dan membentuk "kubah haba" di atas Greece dan Balkan, menyebabkan suhu meningkat sehingga 10 darjah melebihi purata musim, menurut Balai Cerap Kebangsaan Greece.
Purata suhu dijangka mencecah 38 darjah Celsius minggu ini dan memuncak sehingga 44 darjah di beberapa kawasan. Akhbar harian Greece, The National Herald, menggambarkan keadaan sebagai "lebih panas daripada neraka."
Keadaan kering melampau dan diburukkan dengan angin kencang menyebabkan Greece dilanda kebakaran hutan yang teruk.
Pada Khamis, pasukan bomba bergelut memadam kebakaran di pulau Crete yang memusnahkan kawasan hutan dan ladang zaitun, memaksa lebih 1,000 orang dipindahkan.
Satu lagi kebakaran berhampiran Athens juga semakin hampir ke kawasan kediaman.
Sementara itu, Turkiye merekodkan 761 kebakaran hutan dalam tempoh 10 hari selepas 26 Jun. Kebakaran di sekitar wilayah barat Izmir meragut nyawa seorang lelaki warga emas dan seorang pekerja jabatan perhutanan.
Di seluruh Eropah, sekurang-kurangnya lapan kematian berkaitan haba dilaporkan di beberapa negara termasuk Sepanyol dan Itali, ketika benua itu terus dilanda gelombang haba yang melampau.
"Kita kini di bawah pengaruh sistem tekanan tinggi yang kuat; ia memerangkap udara panas dari Afrika Utara ke rantau ini. Seperti yang kita lihat, ia memberi kesan besar terhadap apa yang sedang kita alami," kata Clare Nullis, jurucakap Pertubuhan Meteorologi Dunia.
Beliau berkata manusia perlu belajar untuk hidup dengan gelombang haba yang lebih kerap dan lebih intensif akibat perubahan iklim.
Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus, yang dibiayai oleh EU, berkata dalam satu artikel baru-baru ini menyebut "kerosakan terhadap persekitaran binaan akibat kejadian cuaca ekstrem dijangka meningkat sepuluh kali ganda menjelang akhir abad ini semata-mata akibat perubahan iklim."
Kesan iklim yang meluas ini menunjukkan betapa pentingnya membina ketahanan yang lebih besar, katanya, termasuk melalui langkah fizikal dan teknologi seperti kitar semula air, pengasingan air hujan dan air sisa, reka bentuk bangunan tahan iklim, pemetaan risiko dan sistem amaran awal.
"Adaptasi diperlukan di semua sektor dan peringkat tadbir urus, dan tindakan mesti menangani kesan iklim semasa serta perlindungan terhadap risiko masa depan," menurut laporan itu.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami