Skip to main content

Dunia

Gempa 5.4 landa Laut Halmahera Tengah, tiada ancaman tsunami

GEMPA HALMAHERA
BMKG memaklumkan berdasarkan lokasi pusat gempa dan kedalaman hipopusatnya, gempa itu dikategorikan sebagai gempa cetek akibat aktiviti sesar aktif. - Gambar BMKG
Advertisement

KUALA LUMPUR: Gempa bumi tektonik bermagnitud 5.4 melanda Laut Halmahera Tengah, Indonesia pada petang Selasa, namun tidak berpotensi mencetuskan tsunami.

Pengarah Gempa Bumi dan Tsunami Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG), Wijayanto berkata, gempa berlaku pada pukul 3.22 petang waktu Indonesia Barat atau 4.22 petang waktu Malaysia.

“Hasil analisis BMKG menunjukkan parameter gempa itu dikemas kini kepada magnitud 5.4 pada kedalaman 10 kilometer.

“Pusat gempa terletak pada koordinat 0.26 darjah Utara dan 128.91 darjah Timur, iaitu di laut kira-kira 64 kilometer tenggara Halmahera Tengah, Maluku Utara,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di portal BMKG hari ini.

Menurutnya, berdasarkan lokasi pusat gempa dan kedalaman hipopusatnya, gempa itu dikategorikan sebagai gempa cetek akibat aktiviti sesar aktif.

Analisis mekanisme sumber pula menunjukkan gempa berkenaan berpunca daripada pergerakan sesar turun atau normal fault.

Setakat pukul 3.45 petang waktu tempatan, pemantauan BMKG belum mengesan sebarang aktiviti gempa bumi susulan.

Wijayanto menasihatkan orang ramai supaya kekal tenang, tidak terpengaruh dengan maklumat tidak sahih dan menjauhi bangunan yang retak atau rosak akibat gegaran.


 

Must Watch Video

Advertisement