BOGOTA (COLOMBIA): Gempa bumi kuat berukuran 6.7 magnitud menggegarkan selatan Peru pada petang Khamis sehingga mencetuskan amaran di beberapa wilayah, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), lapor Anadolu Ajansi (AA).
Institut Geofizik Peru (IGP) pula melaporkan gegaran berukuran 7.2 magnitud berlaku pada 1 tengah hari waktu tempatan pada kedalaman sederhana 108 kilometer.
Menurut Pusat Seismologi Kebangsaan (CENSIS) di bawah IGP, pusat gempa terletak kira-kira 35 kilometer di utara Coracora, dalam wilayah Parinacochas di jabatan Ayacucho.
Pihak berkuasa Peru dan agensi pengurusan risiko bencana melaporkan tiada kematian, kecederaan atau kerosakan struktur serius setakat ini.
Ahli geofizik berkata kedalaman 108 kilometer membantu menyerap sebahagian besar tenaga seismik sebelum sampai ke permukaan, menyebabkan tahap keamatan Mercalli III-IV, iaitu gegaran ringan hingga sederhana, berhampiran pusat gempa.
Gempa itu dirasai dengan jelas di seluruh selatan dan tengah Peru, termasuk oleh penduduk di ibu negara Lima.
Kejadian itu berlaku selepas tempoh peningkatan aktiviti seismik di wilayah utara dan selatan negara berkenaan.
Susulan gegaran baru-baru ini, IGP menggesa orang ramai terus berwaspada, menyemak prosedur pemindahan di kediaman masing-masing serta memastikan kit kecemasan sentiasa tersedia.
Peru kerap mengalami aktiviti seismik kerana terletak di “Lingkaran Api Pasifik”.
-- BERNAMA-ANADOLU