DUNIA

Gempa bumi dahsyat landa Afghanistan: Apa kita tahu setakat ini

Rosmanizam Dali 02/09/2025 | 01:00 MYT
Penduduk tempatan berkumpul di sekitar helikopter tentera yang mendarat untuk memindahkan mangsa cedera akibat gempa bumi yang meragut ratusan nyawa dan memusnahkan kampung-kampung di timur Afghanistan. - Foto AP
JALALABAD: Lebih 800 nyawa terkorban dan lebih 3,000 cedera selepas gempa bumi kuat berukuran 6.0 magnitud melanda wilayah timur Afghanistan lewat malam Ahad, menurut jurucakap kerajaan Taliban, Mawlawi Zabihullah Mujahid.

Gempa berlaku pada jam 11.47 malam waktu tempatan, berpusat kira-kira 27 kilometer timur laut Jalalabad, berhampiran sempadan Pakistan.

Gegaran cetek sedalam 8 kilometer itu menyebabkan kerosakan besar di wilayah Kunar dan Nangarhar, termasuk kemusnahan total beberapa kampung.

Pasukan penyelamat berdepan cabaran besar akibat runtuhan, banjir dan tanah runtuh yang menghalang akses ke kawasan pergunungan terpencil.

Sebuah kampung yang rosak akibat gempa bumi yang meragut banyak nyawa dan memusnahkan kawasan penempatan di timur Afghanistan kelihatan di wilayah Kunar. - Foto AP

Helikopter telah digunakan untuk memindahkan lebih 300 mangsa ke hospital di Jalalabad, manakala Kementerian Pertahanan menghantar 30 doktor dan hampir dua tan bekalan perubatan ke Kunar.

Beberapa gegaran susulan turut dirasai, termasuk satu gempa berukuran 4.5 magnitud hanya 20 minit selepas gegaran utama, dan beberapa lagi antara 4.3 hingga 5.2 magnitud sepanjang malam.

Gempa ini merupakan antara yang paling dahsyat dalam sejarah terkini Afghanistan, yang terletak di zon pertembungan plat tektonik India dan Eurasia - kawasan yang menyumbang kira-kira 15 peratus tenaga seismik dunia setiap tahun.

Masyarakat antarabangsa telah menyuarakan sokongan. Setiausaha Agung PBB António Guterres menyatakan solidariti penuh dan mengesahkan pasukan PBB di Afghanistan sedang digerakkan untuk membantu.

Negara seperti Iran, India, China dan Turkiye turut menawarkan bantuan kemanusiaan segera.

Mangsa cedera akibat gempa bumi yang meragut banyak nyawa dan memusnahkan kampung-kampung di timur Afghanistan dipindahkan menggunakan helikopter tentera di Mazar Dara, wilayah Kunar. - Foto AP

Pegawai kesihatan memberi amaran bahawa angka korban dijangka meningkat apabila pasukan penyelamat berjaya memasuki kawasan yang masih terputus hubungan.

Penduduk tempatan melaporkan ramai ahli keluarga masih terperangkap di bawah runtuhan, dengan usaha menyelamat dilakukan menggunakan tangan kosong.

Afghanistan terletak di zon aktif seismik antara plat tektonik India dan Eurasia, menjadikannya terdedah kepada gempa bumi besar hampir setiap tahun.

Banyak kawasan yang terjejas terdiri daripada rumah-rumah lumpur dan binaan tidak kukuh, meningkatkan risiko kematian dan kecederaan.

Berikut adalah garis masa gempa bumi paling dasyat yang telah melanda negara itu sepanjang dekad lalu.




Sepanjang dekad lalu, Afghanistan telah dilanda beberapa gempa bumi besar yang meragut ribuan nyawa.

Pada 26 Oktober 2015, gempa berukuran 7.5 magnitud melanda kawasan Hindu Kush, mengorbankan 399 orang dan mencederakan lebih 2,500.

Kemudian pada 17 Januari 2022, wilayah Badghis digegarkan oleh gempa 5.3 magnitud yang menyebabkan 26 kematian.

Hanya beberapa bulan selepas itu, pada 22 Jun 2022, gempa 6.1 magnitud di Paktika dan Khost meragut lebih 1,000 nyawa dan memusnahkan ribuan rumah.

Pada 21 Mac 2023, gempa 6.5 magnitud melanda Badakhshan, menyebabkan 13 kematian dan gegaran dirasai hingga ke Pakistan.

Tragedi lebih besar berlaku pada Oktober 2023, apabila tiga gempa berturut-turut berukuran 6.3, 6.3 dan 6.4 magnitud melanda Herat, mengorbankan 2,445 orang.

Terbaharu, pada 31 Ogos 2025, gempa 6.0 magnitud di wilayah Kunar dan Nangarhar telah meragut lebih 800 nyawa dan mencederakan lebih 3,000 orang, menjadikannya antara bencana paling dahsyat dalam sejarah moden Afghanistan.










#gempa bumi #Kemusnahan #banjir #garis masa