JAKARTA: Petugas perubatan dan anggota tentera terpaksa menggunakan khemah sementara untuk merawat mangsa cedera selepas hospital berhampiran pusat gempa di Nusa Tenggara Timur, Indonesia, mengalami kerosakan teruk.
Kira-kira 5,000 penduduk dipindahkan selepas gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter menggegarkan kawasan timur Indonesia pada Sabtu, mengorbankan sekurang-kurangnya 51 nyawa, selain menyebabkan tanah runtuh dan memutuskan laluan.
Gempa berkenaan turut disusuli kira-kira 341 gempa susulan dan disifatkan sebagai yang paling dahsyat melanda Indonesia sejak gempa bumi di Jawa Barat pada 2022 yang mengorbankan ratusan nyawa.
Seorang mangsa, Kumala, 40, berkata dia cuba melindungi dua anaknya ketika batu dan serpihan mula berjatuhan sebelum mereka bertiga tertimbus di bawah runtuhan.
Menurutnya, dia tidak sempat bangun apabila batu mula menimpanya, termasuk pada bahagian kepala dan kaki, sebelum mereka sekeluarga berjaya diselamatkan.
"Ketika kejadian gempa bumi berlaku, saya terasa seperti berpusing.
"Ketika itu saya tidak sempat bangun, baru sahaja hendak bangun, batu-batu jatuh menimpa saya di kepala dan kaki. Saya bersama dua anak saya ketika itu dan kami semua tertimbus di bawah runtuhan. Seingat saya, ketika itu, saya dan anak diselematkan oleh seseorang," katanya.
Seorang lagi mangsa, Yohana Lidia Nela berkata dia terperangkap di dalam bilik yang runtuh ketika gempa berlaku. Dia hanya sempat melindungi kepala, manakala kaki dan badannya dihempap runtuhan.
"Sewaktu kejadian saya baru bangun dari tidur dan kejadian berlaku dalam sekelip mata apabila saya hanya mampu melihat runtuhan di bahagian bilik.
"Saya hanya sempat melindungi bahagian kepala, manakala kaki dan badan saya dihempap runtuhan sehingga menyukarkan untuk bergerak. Selepas keadaan selamat, barulah saya dapat merangkak keluar dari kawasan tersebut," katanya.
Sementara itu, pemerintah Nusa Tenggara Timur sedang mempertimbangkan pengisytiharan darurat bagi membolehkan pihak berkuasa menggerakkan sumber dan dana bantuan. Agensi geofizik Indonesia memaklumkan kawasan berkenaan pernah dilanda gempa berukuran 7.5 pada skala Richter pada 1992 yang menyebabkan kemusnahan besar.
Dilaporkan, angka korban akibat gempa bumi bermagnitud 7.7 yang melanda Pulau Flores di Indonesia awal pagi Sabtu meningkat kepada 51 orang, dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus giat dijalankan.
Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan angka itu akan terus meningkat susulan banyak lagi kawasan terjejas tidak dapat dimasuki oleh pasukan SAR disebabkan kemusnahan yang teruk termasuk putus akses jalan raya.
Selain angka korban, pihak berkuasa turut merekodkan 36 mangsa mengalami kecederaan serius manakala 77 lagi cedera ringan, lapor Al Jazeera.
Gempa itu berlaku pada 5.58 pagi waktu tempatan Sabtu dengan pusat gempa terletak kira-kira 68 kilometer di utara-barat laut bandar Ende di Pulau Flores, wilayah Nusa Tenggara Timur, pada kedalaman 10 kilometer.
Setakat ini, pihak berkuasa merekodkan sekurang-kurangnya 341 gegaran susulan selepas gempa utama berlaku, lapor Al Jazeera.
Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB) memaklumkan lebih 3,300 penduduk di daerah Sikka, antara kawasan paling teruk terjejas, telah meninggalkan kediaman masing-masing atau terkandas dan ditempatkan di pusat perlindungan sementara.
Di bandar pelabuhan Maumere, ramai penduduk terpaksa berkhemah di luar rumah yang runtuh atau rosak, manakala sebahagian mangsa menerima rawatan di khemah kecemasan yang didirikan berhampiran hospital tempatan.
Ketua BNPB Leftenan Jeneral Suharyanto berkata sekurang-kurangnya 157 rumah musnah sepenuhnya manakala hampir 200 lagi mengalami kerosakan.
Keadaan itu memaksa kira-kira 2,000 penduduk di daerah Nagekeo berlindung di penempatan sementara.