Skip to main content

Dunia

Gempa bumi gegar Granada, tiga cedera

A fallen tree branch lies atop a damaged vehicle on a street in the aftermath of an earthquake that struck southern Spain, in Granada, Spain, August 18, 2026. REUTERS/Fermin Rodriguez
Dahan pokok yang tumbang menghempap sebuah kenderaan yang rosak di tepi jalan susulan gempa bumi yang melanda selatan Sepanyol, di Granada, Sepanyol. - Foto REUTERS
Advertisement

GRANADA: Sekurang-kurangnya tiga orang mengalami kecederaan ringan manakala beberapa bangunan dan kenderaan mengalami kerosakan selepas gempa bumi berukuran magnitud 4.8 menggegarkan wilayah selatan Sepanyol pada Selasa.

Menurut Institut Geografi Nasional Sepanyol (IGN), pusat gempa terletak kira-kira 10 kilometer di selatan bandar bersejarah Granada, berhampiran bandar Alhendín.

Gegaran itu berlaku pada jam 10.37 pagi waktu tempatan dan direkodkan pada kedalaman kurang daripada 10 kilometer.

Insiden tersebut mencetuskan panik dalam kalangan penduduk apabila ramai dilihat bergegas keluar dari rumah masing-masing ke jalan raya kerana bimbang berlakunya gegaran susulan yang lebih kuat.

Selain kecederaan ringan yang dilaporkan, beberapa kenderaan turut rosak akibat dihempap serpihan yang jatuh daripada bangunan.

Beberapa muzium, bangunan pentadbiran dan pusat sukan di kawasan terjejas juga terpaksa ditutup sementara sebagai langkah keselamatan.

IGN memaklumkan bahawa gempa itu merupakan yang terbaharu dalam siri gegaran cetek yang bermula sejak Jumaat lalu dan dirasai secara meluas di sekitar kawasan berkenaan.

Seorang penduduk Granada, Alfonso Malpica, memberitahu akhbar El País bahawa beliau merasakan apartmennya di tingkat bawah bergegar dengan kuat.

"Gempa ini lebih kuat berbanding gegaran yang berlaku dari semasa ke semasa dan yang sudah biasa kami rasai," katanya.

Seorang lagi saksi, Cristina Ruiz Lopez, yang berada di sebuah pasar raya ketika kejadian, menggambarkan situasi itu sebagai amat menakutkan.

"Segala-galanya jatuh bertaburan. Ia sangat menggerunkan," katanya seperti dipetik agensi berita AFP.

Sementara itu, istana terkenal Alhambra yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan menjadi antara tarikan pelancongan utama Sepanyol, ditutup pada sebelah petang bagi membolehkan pemeriksaan keselamatan dijalankan.

Alhambra menerima kunjungan berjuta-juta pelancong dari seluruh dunia setiap tahun kerana nilai sejarah serta seni bina Islam zaman pertengahannya.

Rangkaian metro Granada pula mengumumkan pengurangan kelajuan operasi tren kepada 30 kilometer sejam atas faktor keselamatan. Pihak pengurusan turut memberi amaran bahawa langkah itu mungkin menyebabkan kelewatan perkhidmatan.

Setakat ini, pihak berkuasa tempatan terus memantau keadaan dan menilai tahap kerosakan susulan siri gegaran yang berlaku di kawasan berkenaan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement