Ringkasan AI
- Gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 melanda Panama, menyebabkan kerosakan bangunan dan ribuan penduduk dipindahkan sebagai langkah keselamatan.
- USGS melaporkan sekitar 4.6 juta orang merasai gegaran sederhana hingga kuat, namun tiada kematian atau kecederaan dilaporkan setakat ini.
- Amaran tsunami awal telah ditarik balik dan operasi tindak balas kecemasan sedang diselaraskan oleh pihak berkuasa Panama.
PANAMA CITY: Gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud menggegarkan Panama pada Jumaat, menyebabkan kerosakan pada bangunan, mencetuskan gegaran meluas serta memaksa ribuan penduduk meninggalkan bangunan sebagai langkah keselamatan.
Menurut Kaji Selidik Geologi Amerika Syarikat (USGS), kira-kira 4.6 juta orang merasai gegaran sederhana hingga kuat akibat gempa tersebut, yang disifatkan berpotensi menyebabkan kesan meluas.
Gempa itu berlaku kira-kira jam 3 petang waktu tempatan dengan pusat gempa terletak sekitar 10 kilometer dari bandar Pitaloza Arriba di selatan tengah Panama.
Rakaman yang dikongsi di media sosial menunjukkan beberapa bangunan runtuh di bandar Penonome dan Sona, termasuk sebuah bangunan yang roboh sepenuhnya sehingga mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan mangsa terperangkap di bawah runtuhan.
Setakat ini, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan pihak berkuasa.
Rakaman yang disahkan turut menunjukkan sebahagian dinding dan menara sebuah katedral di Penonome runtuh akibat gegaran kuat itu, manakala sebuah hotel tempatan dilaporkan hampir musnah sepenuhnya.
Seorang penduduk wilayah Herrera, Ricardo Brown, 74, berkata beberapa rumah di kawasan kejiranannya mengalami kerosakan serius.
“Kami ketakutan. Hanya kami berdua warga emas tinggal di sini. Rumah kami retak dan kami bimbang ia boleh runtuh bila-bila masa,” katanya kepada Reuters.
Pihak berkuasa berkata tahap sebenar kerosakan masih dalam penilaian, lebih-lebih lagi selepas beberapa gempa susulan kuat dilaporkan berlaku berhampiran lokasi gempa utama.
USGS memaklumkan gempa itu berlaku pada kedalaman hanya 12 kilometer, keadaan yang lazimnya meningkatkan kesan gegaran di permukaan.
Di ibu negara, Panama City, yang terletak kira-kira 200 kilometer dari pusat gempa, ramai penduduk dipindahkan dari bangunan dan berkumpul di jalan raya serta taman awam sehingga gegaran berakhir.
Kerosakan di bandar itu dilaporkan terhad kepada serpihan yang jatuh dari bumbung dan struktur bangunan.
Presiden Panama, Jose Raul Mulino, berkata seluruh jentera kerajaan telah digerakkan bagi menyelaras operasi tindak balas kecemasan.
“Apa yang berlaku tidak seharusnya digunakan untuk mencetuskan kebimbangan atau kekacauan,” katanya.
Amaran tsunami pada mulanya dikeluarkan untuk 11 negara jiran Panama, namun Sistem Amaran Tsunami AS kemudiannya mengesahkan tiada ancaman tsunami susulan gempa berkenaan.
Pihak Berkuasa Terusan Panama turut memaklumkan bahawa laluan perkapalan strategik yang menghubungkan Lautan Atlantik dan Pasifik itu tidak terjejas oleh gempa tersebut.
Insiden itu berlaku hanya tiga hari sebelum Panama dijadual mengadakan latihan pemindahan berskala kebangsaan sebagai persediaan menghadapi gempa bumi besar.
Gempa berkenaan menyusuli beberapa bencana seismik yang melanda rantau Amerika Latin tahun ini, termasuk gempa bumi besar di Colombia dan Venezuela.