Gempa bumi Laut Aegea: Remaja diselamatkan selepas 58 jam tertimbus

Astro Awani
November 2, 2020 04:25 MYT
Idil Sarin dilaporkan berada bawah runtuhan itu selama 58 jam sebelum diselamatkan pada pagi Isnin. (Foto AP)
OPERASI mencari dan menyelamat masih giat dijalankan di Izmir, Turki, susulan gempa bumi dari Laut Aegea yang menggemparkan negara itu dan Greece pada Jumaat.
Media tempatan melaporkan, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, Idil Sirin, berjaya diselamatkan daripada runtuhan pangsapuri.
Mangsa tersebut dilaporkan berada di bawah runtuhan itu selama 58 jam sebelum diselamatkan pada pagi Isnin.
Seorang pekerja penyelamat turut berjaya dibawa keluar dari runtuhan di bandar itu, pada hari sama.
Setakat ini, sekurang-kurangnya 75 orang dilaporkan terkorban di Turki, dengan hampir 1,000 yang lain mengalami kecederaan.
BACA: Gempa di Turki, Greece ragut 26 nyawa setakat ini
BACA: PM Greece tawar sokongan, bantuan susulan gempa - Erdogan
BACA: Gempa bumi Laut Aegea: Enam terbunuh dalam runtuhan bangunan di Turki
Menurut Naib Presiden Turki, Fuat Oktay, 26 bangunan di Izmir yang terjejas teruk akibat gempa bumi itu akan dirobohkan.
Sementara itu, di Pulau Samos, Greece pula, dua remaja dilaporkan terbunuh dan sekurang-kurangnya 19 yang lain cedera akibat gempa bumi itu.
Tinjauan Geologi Amerika Syarikat merekodkan gempa bumi itu bermagnitud 7.0 manakala Institut Kandili Istanbul pula mendakwa magnitud dicatatkan adalah 6.9.
#Turki #gempa bumi #mangsa #remaja #operasi #cedera #runtuhan #selamat #Greece #Laut Aegea