MARRAKESH: Angka kematian akibat gempa kuat yang melanda Maghribi kini telah meningkat kepada lebih 2,000 dengan kemusnahan menyeluruh di beberapa kawasan.

Dalam kejadian pada lewat Jumaat waktu tempatan itu, gegeran kuat turut dirasai dari Casablanca ke Marrakesh yang menyaksikan banyak bangunan musnah atau alami kerosakan teruk.

Pihak istana telah mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari.

Pasukan tentera negara juga akan dikerah bagi menghulur bantuan kepada mangsa di kawasan terjejas termasuk membekalkan air bersih, makanan, khemah dan selimut.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, kebanyakan mangsa maut di al-Haouz, Marrakesh, Quarzazate, Azilal, Chichaoua dan Taroudant dan mangsa cedera kini telah meningkat kepada lebih 1,200.

Kebanyakan mangsa berada di kawasan pergunungan yang terpencil menyebabkan bantuan sukar untuk sampai.

Pusat gempa dikesan di Pergunungan High Atlas, 71km di barat daya Marrakesh.

Ramai mangsa dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan bangunan dan setakat ini kebanyakan mereka telah berjaya dikeluarkan.

Bencana alam itu disifatkan sebagai yang paling dasyat pernah berlaku di negara itu selama lebih enam dekad.

Kebanyakan hospital di Marrakesh kini dipenuhi mangsa dan pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk tampil menderma darah.