REYHANLI: "Saya tidak kisah kalau mati sekalipun kerana niat saya untuk menjaga aurat isteri yang terdedah selepas berjaya menyelamatkan dari runtuhan bangunan kediaman kami."

Demikian cerita Abdul Bari Yassin, 32, selepas dia kembali memasuki rumahnya, tingkat dua bangunan lima tingkat di Bohsin, Antakya yang sebelum itu 'terbelah dua' akibat gegaran kuat 7.8 magnitud pada 6 Februari lalu.

Katanya, sewaktu menyelamatkan diri, isterinya hanya memakai baju tidur yang mendedahkan auratnya.

"Sebab itu saya kembali memasuki rumah. Allah menjadi saksi segalanya.

"Kalau mati mungkin saya mati syahid," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah bapa saudaranya di sini.

Mengimbas kembali tragedi hitam itu, Abdul Bari berkata, sebelum kejadian gempa bumi berkenaan, beliau dan isteri bersama tiga orang anak berusia 3, 5 dan 7 tahun berada di ruang tamu rumah.

Sebaik berlaku gegaran, beliau terus mendukung dua anak lelaki, manakala isterinya mendukung anak bongsu perempuan dalam usaha menyelamatkan diri.

"Betapa kuatnya gegaran itu sehinggakan sewaktu melarikan diri, saya terhuyung-hayang sehingga kepala anak terhantuk kuat di dinding.

Keluarga Abdul Bari dan Isa bergambar bersama wakil Sinar Harian dan Syria Care selepas menerima bantuan kewangan Tabung #BantuanBencana Sinar Harian x Syria Care
"Isteri pula beberapa kali hampir terjatuh tambahan pula bekalan elektrik ketika itu terputus," katanya sambil mengucapkan syukur terselamat walaupun mereka kini hidup sehelai sepinggang.

Mujur katanya, sepanjang tiga hari, mereka dibenarkan untuk tinggal di dalam kereta milik jirannya.

"Selepas itu kami meminta bantuan bapa saudara kerana tidak tahan dengan suhu sejuk melampau yang mencecah -10 darjah Celsius apabila menjelang malam," katanya.

Sementara itu, Isa Halabi, 30, berkata, beliau sekeluarga bernasib baik dapat menyelamatkan diri walaupun ketika itu dinding dan siling batu mula runtuh.

Ceritanya, dalam keadaan gelap gelita dia gagal mencari kunci untuk membuka pintu rumahnya di tingkat satu bagunan lima tingkat di Kirikhan, antara bandar merekodkan angka kematian yang tinggi.

"Dalam keadaan rumah yang bergoyang kuat, saya menggunakan kudrat sepenuhnya untuk memecahkan pintu rumah. Anak dan isteri pula menjerit ketakutan.

"Kalau lambat sesaat, saya rasa kami sekeluarga yang terdiri daripada lima orang anak berusia antara dua dan 11 tahun pasti akan terkorban. Begitulah yang terjadi terhadap jiran kami," katanya.



Keluarga Abdul Bari dan Isa antara penerima bantuan kewangan dari Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care bagi meringankan beban yang dialaminya.

Sinar Harian bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Syria Care dan Task Emergency Medical Service (TEMS) ketika ini berada di Turkiye dalam misi menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi termasuk di Syria.

Orang ramai boleh mengambil bahagian dalam misi ini dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.

Mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.

Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/ 


*Artikel asal di Sinar Harian