[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
DUNIA

Gempa kuat landa Filipina tengah, sebabkan kerosakan

Bernama 30/09/2025 | 15:27 MYT
Gempa bumi luar pesisir dengan magnitud awal 6.7 menggegarkan wilayah Cebu di Filipina tengah pada malam Selasa, menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs).
HONG KONG: Gempa bumi luar pesisir dengan magnitud awal 6.7 menggegarkan wilayah Cebu di Filipina tengah pada malam Selasa, menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs), lapor Xinhua.

Dalam satu laporan, institut itu menyatakan gempa yang berlaku pada 9.59 malam waktu tempatan itu berpusat pada kedalaman 10 kilometer (km), kira-kira 17 km timur laut Bogo City.

Gegaran turut dirasai di wilayah Northern Samar, Bohol dan Sorsogon, serta di wilayah berhampiran Filipina tengah. Bagaimanapun, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Institut itu berkata gempa tektonik tersebut akan mencetuskan gegaran susulan dan boleh menyebabkan kerosakan besar.

Pengarah Phivolcs, Teresito Bacolcol memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhi pantai kerana kemungkinan berlaku gangguan kecil paras laut.

Bacolcol berkata pihaknya menerima laporan bahawa bahagian atas sebuah gereja lama telah runtuh, selain beberapa kawasan mengalami gangguan bekalan elektrik selepas gempa kuat itu.

Filipina yang terdiri daripada kepulauan kerap mengalami aktiviti seismik kerana kedudukannya di sepanjang "Lingkaran Api" Pasifik.

-- BERNAMA



#gempa bumi kuat #Leyte #magnitud #Filipina