Gempa Lombok: Ramai mangsa runtuhan masjid masih terperangkap
Agensi
Ogos 7, 2018 08:44 MYT
Ogos 7, 2018 08:44 MYT
Kejadian gempa bumi 7.0 magnitud yang melanda kepulauan Lombok, Nusa Tanggara Barat, Indonesia pada Ahad turut menyebabkan sebuah masjid di utara kepulauan itu runtuh.
Masjid At-Taqwa Ambruk di Desa Lading-Lading, Kecamatan Tanjung runtuh di saat beberapa jemaah sedang mengerjakan solat Isya.
Angka sebenar mangsa yang terperangkap dalam runtuhan masih belum dikenal pasti, namun pihak berkuasa menerusi operasi mencari dan menyelamat (SAR) setakat ini berjaya menemukan seorang mangsa yang berjaya dibawa keluar dengan selamat.
Mangsa seterusnya dibawa ke hospital untuk diberikan rawatan.
YouTube KompasTV
Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana, Sutopo Purwo Nugroho menerusi entri terbaharunya di laman Twitter mengesahkan tiga terkorban manakala seorang mangsa terselamat setakat ini.
Operasi SAR masih giat dijalankan dan pihak berkuasa menjangkakan angka kematian akan terus meningkat.
Dalam gegaran kuat itu, kubah masjid At-Taqwa runtuh sekali gus menghancurkan keseluruhan struktur bangunan tersebut.
Pihak Agensi Pengurusan Bencana bagaimanapun masih berharap agar ramai lagi mangsa terperangkap ditemukan dalam keadaan selamat.
#At-Taqwa Ambruk
#Desa Lading-Lading
#Indonesia
#Lombok
#masjid runtuh
#Sutopo Purwo Nugroho
#Twitter