INTERNATIONAL
Gempa Myanmar: Penyelamat jumpa mangsa terselamat bawah runtuhan hospital
Sami Buddha berjalan melepasi bangunan runtuh selepas gempa bumi kuat di Naypyitaw, Myanmar, Sabtu. - Gambar/ AP
NAY PYI TAW/KUNMING: Pasukan penyelamat dari wilayah Yunnan, China bersama pasukan penyelamat Myanmar berjaya mengeluarkan seorang lelaki warga emas yang terperangkap dalam runtuhan akibat gempa bumi di Nay Pyi Taw, Myanmar pada Ahad sekitar 5.00 pagi waktu tempatan, lapor Xinhua.
Mangsa terperangkap selama hampir 40 jam di bawah runtuhan sebuah hospital di bandar itu.
Selepas operasi menyelamat sepanjang malam, lelaki berkenaan menjadi individu pertama yang berjaya diselamatkan oleh pasukan China sejak tiba di kawasan bencana pada Sabtu.
Pasukan penyelamat seramai 37 anggota dari wilayah Yunnan tiba di Myanmar dengan membawa pelbagai peralatan canggih, termasuk alat pengesan hayat, sistem amaran awal gempa bumi, telefon satelit mudah alih, dron, serta peralatan penyelamatan lain.
Sebaik tiba di Yangon, pasukan itu terus bergerak ke Nay Pyi Taw, yang merupakan antara kawasan paling terjejas.
Mereka tiba di lokasi pada 6.30 petang waktu tempatan Sabtu dan segera memulakan operasi menyelamat.
Menurut pasukan penyelamat, hospital tiga tingkat yang menjadi lokasi pencarian mengalami kerosakan teruk, dengan tingkat pertama runtuh sepenuhnya dan mengakibatkan ramai mangsa tertimbus.
Pasukan itu kini giat menggunakan alat pengesan hayat untuk mengesan mangsa yang masih mempunyai tanda-tanda masih hidup di bawah runtuhan.
-- BERNAMA