Seorang pelancong rakyat Malaysia dipercayai tercedera susulan kejadian gempa bumi berukuran 6.1 magnitud yang melanda Bandar Hualien, Taiwan sekitar jam 1 petang waktu tempatan pada Khamis.

Timbalan Presiden Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia (MFTC) di Taipei, Anwar Udzir, berkata ketika kejadian, rakyat Malaysia terbabit dilaporkan cedera akibat runtuhan batu-bata ketika membuat lawatan ke Taroko Gorge National Park di Hualien.

“Pihak saya menerima laporan kecederaan yang melibatkan seorang pelancong rakyat Malaysia dalam kejadian gempa bumi di Hualien.

"Mangsa dilaporkan cedera akibat runtuhan batu-bata apabila ketika membuat lawatan ke Taroko Gorge National Park di Hualien.



Foto Reuters

“Mangsa telah diterbangkan oleh pasukan perubatan ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Tambah Anwar, pihaknya masih dalam proses bagi mendapatkan pengesahan dan maklumat lanjut mengenai mangsa yang terlibat.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan petang ini turut mengesahkan pelancong warga Malaysia itu mengalami cedera ringan.

"Kementerian Luar Negeri melalui Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei akan terus memantau keadaan mangsa dan menghulurkan bantuan sewajarnya.

"Warganegara Malaysia yang terjejas akibat bencana ini dan memerlukan bantuan konsular adalah dinasihatkan untuk berhubung dengan Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei," menurut kenyataan itu lagi.

Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia boleh dihubungi di alamat dan nombor berikut:

8th Floor, San Ho Plastic Building 102, Dun Hua North Road Taipei, Taiwan R.O.C
+(886) 22713 2626
+(886) 90574 6271 (Pegawai Bertugas)
[email protected]


Laporan awal daripada MFTC mendedahkan terdapat dua pelancong rakyat Malaysia yang dipercayai terlibat dalam kejadian gempa bumi Hualien tersebut.

Hualien dilanda gempa bumi yang berskala 6.4 magnitud pada tahun lalu yang meragut nyawa 17 orang.

Gempa bumi yang paling buruk yang pernah melanda pulau tersebut adalah pada September 1999 yang berukuran 7.6 magnitud dan mengorbankan 2,400 nyawa.