DUNIA
Gencatan senjata Gaza berjalan lebih baik daripada dijangka - Naib Presiden AS
JD Vance (tengah) menjawab soalan wartawan pada sidang media di Kiryat Gat, Israel. Turut serta dalam sidang media itu ialah Steve Witkoff (kiri) dan Jared Kushner. - Gambar AP
TEL AVIV : Pelaksanaan perjanjian gencatan senjata di Gaza berjalan lebih baik daripada dijangka dan berpotensi untuk kekal, kata Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), JD Vance, ketika lawatannya ke Israel.
Vance, dalam sidang media bersama dua Utusan Khas AS, Steve Witkoff dan Jared Kushner menegaskan, rundingan damai masih di landasan positif namun memberi amaran tegas bahawa Hamas akan “dilenyapkan sepenuhnya” sekiranya enggan bekerjasama.
“Sekiranya Hamas tidak menunjukkan komitmen terhadap perjanjian ini, mereka akan dihancurkan,” katanya, sambil menolak untuk menetapkan tempoh masa bagi proses perlucutan senjata kumpulan itu - satu perkara penting yang masih dalam rundingan.
Presiden AS, Donald Trump, yang menjadi perantara perjanjian gencatan senjata tersebut awal bulan ini, turut menegaskan bahawa sekutu rapat Amerika di Asia Barat “bersedia memasuki Gaza dengan kekuatan penuh untuk melumpuhkan Hamas” sekiranya kumpulan itu terus melanggar perjanjian.
Israel, Hamas tuding jari selepas insiden keganasan terbaharu
Kenyataan Vance dibuat susulan insiden keganasan pada Ahad yang hampir menggagalkan gencatan senjata berusia 12 hari itu.
Israel mendakwa, dua askarnya terbunuh akibat serangan Hamas di selatan Gaza, yang mencetuskan serangan balas udara oleh tentera Israel sehingga mengorbankan puluhan rakyat Palestin.
Trump menerusi hantaran di media sosial menulis bahawa “masih ada harapan Hamas akan melakukan perkara yang betul”, sambil memberi amaran bahawa jika tidak, “pengakhiran Hamas akan berlaku dengan pantas, ganas dan kejam”.
AS gesa rundingan fasa kedua pelan damai Gaza
Lawatan Vance ke Israel dijangka memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu agar memulakan rundingan jangka panjang untuk menamatkan perang dengan Hamas secara kekal.
Beliau memuji Israel kerana “amat membantu” dalam pelaksanaan fasa pertama pelan damai, namun menegaskan masih banyak usaha perlu dilakukan bagi memastikan langkah-langkah susulan berjalan lancar.
Trump dilapor menghantar Vance, Witkoff dan Kushner ke Israel bagi mengekalkan momentum dan menggerakkan rundingan fasa kedua pelan damai 20 perkara anjurannya.
Fasa seterusnya dijangka melibatkan pembentukan kerajaan sementara Palestin, penempatan pasukan penstabilan antarabangsa, pengunduran tentera Israel serta perlucutan senjata Hamas.
Namun Israel menegaskan, tidak akan menyertai sebarang rundingan lanjut selagi Hamas belum memulangkan semua mayat tebusan yang masih berada di Gaza.
Kebimbangan AS terhadap pendirian Netanyahu
Pegawai AS dilaporkan bimbang Netanyahu mungkin menarik diri daripada perjanjian dan melancarkan serangan penuh terhadap Hamas.
Dalam sidang Parlimen pada Isnin, Netanyahu berkata, beliau akan membincangkan “cabaran keselamatan dan peluang politik” bersama Vance.
Beliau turut mengesahkan tentera Israel menjatuhkan lebih 150 tan bom ke atas Gaza sebagai tindak balas terhadap “pelanggaran terang-terangan” oleh Hamas pada Ahad.
“Satu tangan kami memegang senjata, satu lagi dihulurkan untuk perdamaian,” katanya.
“Kamu hanya membuat perdamaian dengan pihak yang kuat - dan hari ini, Israel lebih kuat daripada sebelumnya.”
Gencatan senjata masih berkuat kuasa walau berlaku korban baharu
Walaupun empat rakyat Palestin dilaporkan terbunuh akibat tembakan Israel pada Isnin, kedua-dua pihak mengesahkan komitmen mereka terhadap perjanjian gencatan senjata.
Tentera Israel mendakwa mereka menembak ke arah “pengganas” yang melintasi Garisan Kuning - kawasan yang masih diduduki pasukan Israel.
Ketua perunding Hamas, Khalil al-Hayya, yang kini berada di Kaherah, menegaskan kumpulannya “komited sepenuhnya” terhadap pelaksanaan perjanjian damai itu.
“Apa yang kami dengar daripada pihak perantara dan Presiden AS memberi jaminan bahawa perang di Gaza sudah berakhir,” katanya kepada saluran Al-Qahera News TV.
Beliau turut menyatakan Hamas sedang berusaha memulangkan semua mayat tebusan yang masih tertimbus di bawah runtuhan, namun menghadapi kesukaran berikutan kekurangan peralatan penyelamat.
Israel pada malam Isnin mengesahkan penyerahan satu lagi mayat tebusan kepada Palang Merah - dikenal pasti sebagai Tal Haimi, 41, yang terbunuh dalam serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 di Kibbutz Nir Yitzhak.
Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober lalu, 13 daripada 28 mayat tebusan telah dikembalikan, manakala 20 tebusan hidup dibebaskan sebagai pertukaran dengan hampir 2,000 tahanan Palestin.
Misi kemanusiaan WFP diteruskan
Sementara itu, Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa mengekalkan gencatan senjata adalah “amat penting” bagi memastikan penghantaran bantuan makanan ke Gaza dapat diteruskan.
Sejak gencatan senjata bermula, sebanyak 530 lori membawa lebih 6,700 tan makanan telah memasuki Gaza, mencukupi untuk menampung hampir 500,000 penduduk selama dua minggu, menurut jurucakap WFP, Abeer Atefa.
Bagaimanapun, hanya dua lintasan sempadan - Kerem Shalom dan Kissufim dibuka dan kedua-duanya terletak di selatan, menyebabkan penduduk di utara Gaza terus berdepan kekurangan makanan yang kritikal.
Beliau berkata, walaupun tiada kejadian rampasan bantuan di selatan, ramai penduduk masih menjimatkan bekalan kerana bimbang laluan bantuan akan ditutup semula.
Israel sebelum ini menghentikan penghantaran bantuan berikutan keganasan pada Ahad, namun ia disambung semula keesokan harinya selepas tekanan antarabangsa meningkat.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas, lebih 68,000 penduduk Gaza telah terbunuh sejak Israel melancarkan serangan ketenteraan pada Oktober 2023. - Agensi
Dapatkan berita terkini di sini