[LAPOR LANGSUNG] 9 Aktivis Malaysia Pulang dari Misi Gaza – Ikuti Ketibaan Mereka di KLIA Sekarang!
DUNIA

Gencatan senjata Gaza: Pertukaran tawanan dijangka bermula Isnin

Astro Awani 12/10/2025 | 11:00 MYT
Reaksi penduduk Palestin selepas tentera Israel berundur susulan gencatan senjata di antara Israel dan Hamas di Gaza, 10 Oktober 2025. -Foto Reuters
GAZA/JERUSALEM: Rakyat Israel dan Palestin kini menanti dengan penuh harapan dan emosi bercampur baur menjelang pelaksanaan fasa pertama pertukaran tawanan di antara Israel dan Hamas, susulan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai minggu lalu.


Ringkasan AI
  • Rakyat Israel dan Palestin menanti fasa pertama pertukaran tawanan susulan gencatan senjata, melibatkan pembebasan 250 tahanan Palestin dan penyerahan tebusan warga Israel oleh Hamas
  • Kegembiraan dirasai keluarga Palestin seperti keluarga Shamasneh di Khan Younis, walaupun tokoh utama seperti Marwan Barghouti tidak termasuk dalam senarai pembebasan
  • Pertukaran dijangka bermula Isnin dengan pemantauan ketat oleh ICRC dan wakil PBB, namun isu pelucutan senjata Hamas dan masa depan pentadbiran Gaza kekal menjadi cabaran rundingan damai


Menurut Kementerian Kehakiman Israel, senarai rasmi 250 tahanan Palestin yang akan dibebaskan telah diterbitkan pada Jumaat, sebagai sebahagian daripada Pelan Damai 20 Perkara yang dirangka oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Sebagai balasan, Hamas dijangka menyerahkan sejumlah tebusan warga Israel yang masih ditahan di Gaza sejak konflik tercetus pada Oktober 2023.

Di Khan Younis, selatan Gaza, suasana penuh kegembiraan menyelubungi keluarga Shamasneh yang menantikan kepulangan dua anak mereka, Abdel Jawad dan Mohammed, selepas 34 tahun dipenjara di Israel.

“Hari ini saya terlalu gembira, dunia terasa terlalu sempit menampung kegembiraan saya,” kata Halima Shamasneh, 83, ibu kepada kedua-dua tahanan tersebut.

Walaupun senarai pembebasan tidak merangkumi beberapa tokoh utama Palestin seperti Marwan Barghouti dan Ahmad Saadat, yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup, perjanjian ini tetap dianggap sebagai pencapaian penting dalam usaha meredakan ketegangan dua tahun konflik bersenjata di Gaza.

Di pihak Israel, keluarga tebusan menyambut berita ini dengan kelegaan, namun masih berhati-hati terhadap pelaksanaan sepenuhnya perjanjian tersebut.

Ketidaktentuan mengenai pelucutan senjata Hamas dan pentadbiran Gaza pada masa depan kekal menjadi persoalan utama dalam rundingan damai yang sedang berlangsung.

Pertukaran ini dijangka berlangsung secara berperingkat bermula Isnin, dengan pemantauan ketat daripada pihak antarabangsa termasuk Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dan wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).








#gencatan senjata #Rakyat Israel dan Palestin #pembebasan 250 tahanan Palestin #pertukaran tawanan