DUNIA

Gencatan senjata Gaza tidak lengkap tanpa Tebing Barat, kata PM Qatar

Bernama 07/12/2025 | 08:38 MYT
Sheikh Mohammed berkata Qatar komited terhadap kestabilan rantau Asia Barat dan melihatnya sebagai komponen penting keselamatan negaranya. - Reuters
ISTANBUL: Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani pada Sabtu berkata perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza tidak akan lengkap tanpa merangkumi Tebing Barat, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Bercakap pada sesi panel di Forum Doha 2025, Sheikh Mohammed berkata Qatar komited terhadap kestabilan rantau Asia Barat dan melihatnya sebagai komponen penting keselamatan negaranya.

Qatar "tidak berhasrat menunjukkan kekuatan melalui cara ketenteraan, sebaliknya melalui diplomasi, pelaburan dan perkongsian strategik - satu pendekatan yang beliau sifatkan sebagai sumbangan penting Qatar dalam bidang ini," katanya seperti dipetik dalam kenyataan Kementerian Luar negara itu.

Beliau berkata Qatar "berusaha menyelesaikan konflik melalui pengantaraan dalam landskap antarabangsa yang semakin berpecah-belah."

Qatar "secara konsisten berusaha untuk memastikan saluran komunikasi dibuka kepada semua pihak dan tidak memihak, kerana tanpa keterbukaan sedemikian, tiada pertikaian boleh diselesaikan secara bermakna," kata Sheikh Mohammed.

"Semua kemajuan yang dicapai Qatar dalam bidang ini sejak 2013 berpunca daripada penglibatannya dengan semua pihak berkepentingan."

Perdana Menteri Qatar itu menekankan "kepentingan menangani punca utama konflik Israel-Palestin - satu usaha yang mesti melangkaui penamatan malapetaka di Gaza yang turut merangkumi situasi di Tebing Barat serta pemenuhan aspirasi nasional rakyat Palestin."

"Kita berada pada detik yang menentukan berhubung gencatan senjata di Gaza," katanya sambil menjelaskan bahawa pihak pengantara kini bekerjasama dalam fasa kedua perjanjian itu, yang disifatkannya sebagai satu lagi langkah sementara.

Beliau menambah bahawa Qatar, Turkiye, Mesir dan Amerika Syarikat bersama-sama merangka hala tuju fasa seterusnya.

Perjanjian gencatan senjata itu berkuat kuasa pada 10 Okt, menghentikan serangan dua tahun Israel yang mengorbankan lebih 70,000 orang - kebanyakannya wanita dan kanak-kanak - serta mencederakan hampir 171,000 yang lain sejak Oktober 2023.

Fasa pertama perjanjian itu merangkumi pembebasan tawanan Israel sebagai pertukaran bagi tahanan Palestin.

-- BERNAMA

#gencatan senjata #Gaza #Palestin #Tebing Barat #Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani #Qatar