INTERNATIONAL
Gencatan senjata: India buka semula 32 lapangan terbang untuk penerbangan awam
Penutupan lapangan terbang di wilayah utara dan barat India diumumkan selepas konflik ketenteraan tercetus antara negara itu dan Pakistan minggu lepas.
NEW DELHI: Pihak berkuasa India mengumumkan pembukaan semula 32 lapangan terbang pada Isnin, yang sebelum ini ditutup kepada operasi penerbangan awam susulan sekatan ruang udara ekoran ketegangan memuncak dengan Pakistan, lapor Xinhua.
Langkah itu diambil selepas kedua-dua negara mencapai perjanjian genjatan senjata pada Sabtu.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, Pihak Berkuasa Lapangan Terbang India (AAI) memaklumkan bahawa 32 lapangan terbang yang ditutup kepada pesawat awam sehingga pukul 5.29 pagi waktu tempatan 15 Mei kini dibuka semula serta-merta.
Penutupan lapangan terbang di wilayah utara dan barat negara itu diumumkan selepas konflik ketenteraan tercetus antara India dan Pakistan minggu lepas.
-- BERNAMA