[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
DUNIA

Gencatan senjata Israel-Iran berjalan lancar - Trump

Astro Awani 25/06/2025 | 09:03 MYT
Trump memaklumkan bahawa gencatan senjata di antara Israel dan Iran berjalan dengan baik dan memuji Israel kerana membatalkan serangan udara selepas rayuannya. -Reuters
THE HAGUE: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memaklumkan bahawa gencatan senjata di antara Israel dan Iran sedang berjalan dengan baik, lapor Al Jazeera.

Ringkasan AI
  • Presiden AS, Donald Trump memaklumkan bahawa gencatan senjata antara Israel dan Iran berjalan dengan baik dan memuji Israel kerana membatalkan serangan udara selepas rayuannya.
  • Trump menyatakan keyakinan bahawa Iran tidak akan meneruskan pengayaan uranium dalam masa terdekat dan menyifatkan serangan AS ke atas kemudahan nuklear Iran sebagai kemenangan bersama.
  • Beliau optimis hubungan AS-Iran akan pulih pada masa hadapan dan menyifatkan Iran sebagai negara yang berpotensi untuk bangkit semula.

Bercakap kepada media di The Hague sempena Sidang Kemuncak NATO, Trump berkata beliau bangga dengan Israel kerana memanggil balik pesawat selepas beliau menghubungi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bagi mengelakkan tindakan yang boleh menggugat perjanjian damai.
“Ia satu tindakan yang hebat,” katanya memuji tindakan Israel yang membatalkan serangan udara susulan rayuannya dan menzahirkan keyakinan bahawa gencatan senjata itu akan berkekalan.
Trump turut menyentuh isu program nuklear Iran, di mana beliau menyatakan keyakinan bahawa Tehran tidak akan meneruskan pengayaan uranium dalam masa terdekat.
“Bayangkan, selepas semua yang berlaku, mereka kata: 'Oh, ayuh, kita kena buat bom.
“Perkara terakhir yang mereka mahu lakukan sekarang ialah memperkayakan apa-apa. Mereka mahu pulih,” kata Trump.
Beliau juga tidak percaya dakwaan bahawa Tehran sempat mengalihkan uranium yang diperkaya keluar dari kemudahan nuklear Fordow sebelum serangan udara AS.
“Saya percaya mereka tidak sempat keluarkan apa-apa kerana tindakan kita sangat pantas.
"Kalau mereka ada dua minggu, mungkin. Tapi bahan seperti itu sukar untuk dipindahkan… dan amat berbahaya.
“Mereka tahu kita akan datang. Kalau mereka tahu, mereka tentu tidak berada di situ,” kata Trump lagi.
Beliau menegaskan bahawa Iran tidak akan membina senjata nuklear dan menyifatkan serangan AS ke atas kemudahan nuklear Iran baru-baru ini sebagai kemenangan besar untuk semua pihak, termasuk Iran.
“Mereka ada negara, mereka ada minyak, dan mereka orang yang bijak. Mereka boleh bangkit semula,” katanya.
Beliau dalam pada itu menzahirkan keyakinan bahawa hubungan AS dan Iran mungkin akan pulih pada masa hadapan.
#Donald Trump #NATO #sidang kemuncak #konflik Israel-Iran' #Benjamin Netanyahu