DUNIA

Generative Watermarking: Bezakan fakta dan auta dalam dunia AI

Najib Aroff 26/06/2025 | 04:15 MYT
Kerajaan dan badan antarabangsa seperti G7 dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sedang mempertimbangkan mandat supaya kandungan AI diwajibkan diberi tanda jelas. - Foto WEF
TIANJIN: Dalam era di mana kecerdasan buatan (AI) menghasilkan segalanya daripada imej tular hinggalah ucapan politik, satu teknologi baharu yang berkuasa kini muncul bagi menangani antara cabaran terbesar masa kini: membezakan antara fakta dan rekaan.
Diperkenalkan dalam World Economic Forum’s Annual Meeting of the New Champions (AMNC25) di Tianjin, generative Watermarking kini tersenarai sebagai salah satu daripada 10 Teknologi Baharu Muncul Teratas 2025.
Inovasi ini menawarkan cara yang tidak kelihatan namun berkesan untuk mengenal pasti kandungan yang dihasilkan oleh AI sama ada foto, video, artikel mahupun rakaman suara sekali gus membantu melindungi ruang digital daripada maklumat palsu, kandungan manipulatif dan teknologi peniruan wajah atau suara (deepfake).
Apa itu Generative Watermarking?
Secara asasnya, ia merupakan “cap jari digital” yang ditanam dalam kandungan yang dijana oleh AI. Tidak seperti watermarking biasa yang kelihatan secara visual, penanda ini tersembunyi dalam elemen data seperti piksel, gelombang bunyi atau metadata dan hanya boleh dikesan menggunakan perisian tertentu.
Matlamatnya adalah untuk membantu pengguna, platform digital dan kerajaan membezakan antara kandungan asli dan sintetik dalam dunia yang semakin dipenuhi kandungan berasaskan AI.
Kesan teknologinya sangat besar. Platform media sosial boleh menggunakan teknologi ini untuk menandakan atau melabel kandungan AI.
Organisasi berita dapat mengesahkan kesahihan bahan multimedia sebelum diterbitkan. Dalam bidang akademik, ia boleh membantu mengenal pasti tugasan yang ditulis oleh AI.
Malah dalam sektor hiburan dan seni, para pencipta boleh menanda kandungan mereka sebagai tanda ketelusan atau hak milik.
Dengan pengawasan peraturan yang semakin ketat di seluruh dunia, penanda air ini juga dilihat sebagai alat yang bersedia untuk pematuhan undang-undang.
Kerajaan dan badan antarabangsa seperti G7 dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sedang mempertimbangkan mandat supaya kandungan AI diwajibkan diberi tanda jelas.
Beberapa gergasi teknologi seperti Google DeepMind, OpenAI dan Meta telah mula menguji rangka kerja penanda air masing-masing. Sesetengah model AI kini menyisipkan tandatangan terus ke dalam hasil output, manakala yang lain menyediakan alat pengesanan luaran.
Namun, di sebalik potensinya, timbul pula persoalan baharu, Mampukah watermarking ini menyaingi AI, ‘musuh’ yang berupaya memadam atau mengubah tandatangan ini?
Adakah pihak tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan ke atas kandungan tanpa tanda untuk menyebarkan maklumat palsu? Dan bagaimana kita dapat mengimbangi keperluan penanda air dengan privasi serta kebebasan bersuara?
Meskipun wujud cabaran, kata sepakat yang tercetus di AMNC25 adalah jelas, dalam memerangi maklumat palsu digital, Generative Watermarking merupakan garis pertahanan yang penting.
Walaupun pengguna mungkin tidak akan “melihat” Watermarking ini secara langsung, kesannya akan dirasai, dalam cara kita mempercayai, menggunakan dan mengesahkan maklumat dalam era digital.
#AMNC25 #GenerativeAI #AIWatermarking #WEF