NEW DELHI: Pihak berkuasa India mengerahkan puluhan ribu anggota keselamatan di ibu negara New Delhi menjelang protes besar yang dirancang pada Sabtu oleh gerakan belia dikenali sebagai “Cockroach”.
Gerakan yang diterajui parti satira dalam talian Cockroach Janata Party (CJP) itu menuntut reformasi pilihan raya serta peletakan jawatan Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya, Gyanesh Kumar, berhubung dakwaan manipulasi daftar pemilih.
Suruhanjaya Pilihan Raya India menafikan dakwaan tersebut, manakala Kumar belum mengulas mengenai tuntutan berkenaan.
Polis memaklumkan bahawa kebenaran untuk mengadakan perhimpunan di Jantar Mantar, lokasi utama bantahan di New Delhi, tidak diberikan atas alasan keselamatan dan kegagalan penganjur mematuhi prosedur permohonan.
Sebagai langkah berjaga-jaga, beberapa jalan utama ditutup, puluhan stesen metro dihentikan operasi sementara dan beberapa perkhidmatan kereta api ke Delhi dibatalkan.
Pengasas CJP, Abhijeet Dipke, bagaimanapun berikrar untuk meneruskan perarakan ke Jantar Mantar walaupun berdepan sekatan pihak berkuasa.
Protes itu dijangka menjadi antara yang terbesar sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dengan sokongan parti pembangkang, pertubuhan peladang dan kumpulan mahasiswa.
Ketegangan tercetus susulan semakan daftar pemilih yang dikenali sebagai Special Intensive Revision (SIR), yang menurut Suruhanjaya Pilihan Raya bertujuan membersihkan rekod pendua dan nama yang tidak layak.
Namun, pembangkang mendakwa proses itu digunakan bagi memberi kelebihan kepada parti pemerintah Bharatiya Janata Party (BJP).