DUNIA

GHF perangkap maut, propaganda AS, Israel - Presiden MAHAR

Irfan Faruqi 04/08/2025 | 15:10 MYT
Rakyat Gaza menunggu untuk mendapatkan agihan bantuan makanan. - REUTERS/Khamis Al-Rifi
KUALA LUMPUR: Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang didanai Amerika Syarikat (AS) merupakan perangkap maut yang menjadi lokasi utama pembunuh rakyat Gaza yang cuba mendapatkan makanan ketika dicengkam kebuluran.


Ringkasan AI
  • Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang ditaja AS dan Israel didakwa menjadi lokasi utama pembunuhan rakyat Gaza yang kelaparan, serta digunakan untuk menjejak dan menyasarkan lelaki dalam lingkungan usia tempur.
  • Tentera Israel menjadikan penduduk Gaza sebagai sasaran tembakan di tapak pengagihan bantuan, dengan tindakan kejam seperti menembak kepala, dada dan kaki secara sengaja dan berseronok.
  • Sejak 2 Mac 2025, semua pintu masuk ke Gaza ditutup, menyebabkan bantuan makanan dan perubatan disekat. UNRWA menyalahkan GHF sebagai punca utama krisis kebuluran yang semakin meruncing.


Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Jismi Johari berkata, yayasan itu juga merupakan propaganda AS dan Israel, kononnya untuk membuktikan kepada dunia bahawa rejim itu masih ada hati perut.

“Mereka gunakan teknik pengecaman fizikal, yang mana mereka menjejak lelaki yang berada dalam lingkungan usia siap tempur; 16 hingga 55 tahun, akan menjadi sasaran (serangan Israel).

“Mereka rasa ini merupakan kaedah yang baik untuk mengurangkan jumlah pejuang Hamas. Kita lihat yang menjadi sasaran bukan sahaja lelaki dewasa, bahkan orang tua, wanita dan kanak-kanak.

“Seperkara lagi, bantuan yang disampaikan oleh GHF ini memang tidak cukup. Ia hanya dijadikan propaganda untuk menunjukkan Israel dan Amerika Syarikat (AS) membantu Gaza untuk dilaporkan media arus perdana mereka dengan memberi bayangan bahawa ini merupakan usaha kemanusiaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.


GHF perangkap maut, propaganda AS, Israel – Presiden MAHAR


Dalam temu bual yang sama, Eksekutif Advokasi dan Penyelidikan MyCARE, Megat Aiman Hakim Megat Shariffudin pula mendedahkan, tapak pengagihan bantuan makanan di Gaza kini dijadikan medan rejim Zionis untuk memuaskan nafsu kezaliman mereka dengan membunuh penduduk yang terdesak untuk mendapatkan makanan.

“Setakat ini, mereka yang mengambil bantuan makanan ditembak rejim Zionis seolah-olah sasaran dalam permainan video.

“Ada hari mereka khususkan untuk tembak kepala (penduduk Palestin) sahaja. Ada hari mereka tembak kaki sahaja. Ada hari mereka tembak bahagian dada sahaja.

“Mereka (tentera Israel) menjadikan penduduk Gaza sebagai sasaran tembakan untuk berseronok sambil bergelak ketawa,” ujarnya.

Setakat Isnin Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) melaporkan angka kematian akibat kebuluran di Semenanjung Gaza kini meningkat kepada 180 orang, termasuk 83 kanak-kanak.

Sejak 2 Mac 2025, pihak berkuasa penjajah menutup sepenuhnya semua pintu masuk ke Semenanjung Gaza, menyekat kemasukan kebanyakan bantuan makanan dan perubatan, sekali gus mempercepatkan kebuluran di seluruh wilayah itu.

Pada Ahad, Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini berkata GHF yang ditaja AS dan Israel sebagai punca utama krisis kebuluran di Gaza.

Dalam satu kenyataan, Lazzarini berkata, GHF sengaja melemahkan usaha bantuan yang diselaraskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sementara Israel terus menghalang UNRWA daripada menghantar bantuan sejak 2 Mac lalu.


Agenda AWANI: Kebuluran Di Gaza Buka Mata Dunia, Tidak Lagi Berdiam



#Agenda Awani #Amerika Syarikat #Gaza #Israel #Palestin #UNRWA #rejim Zionis