ROM: Pakatan berhaluan kanan diketuai parti Brothers of Italy pimpinan Giorgia Meloni mempunyai peluang yang cerah memenangi majoriti kukuh dalam Parlimen akan datang.

Ini berdasarkan tinjauan pasca pengundian setelah selesai pilihan raya Itali, pada Ahad, yang dikeluarkan media rasmi negara, RAI.

Menurutnya, blok parti konservatif termasuk Liga Matteo Salvini dan parti Forza Italia pimpinan Silvio Berlusconi, menang antara 41 dan 45 peratus bagi menjamin kawalan kedua-dua dewan Parlimen.

Undang-undang pilihan raya Itali memihak kepada kumpulan yang berjaya mewujudkan pakatan praundi, memberikan mereka bilangan kerusi yang besar berbanding dengan jumlah undi mereka.

Keputusan penuh dijangka pada awal Isnin.

Jika disahkan, keputusan itu akan memperlihatkan peningkatan yang luar biasa untuk Meloni, yang partinya hanya memenangi 4 peratus undi pada pilihan raya terakhir pada 2018.

Bagaimanapun, kali ini ia diramalkan muncul sebagai kumpulan terbesar Itali dengan 22.5 hingga 26.5 peratus.

Sebagai ketua parti terbesar dalam pakatan yang menang, beliau adalah pilihan yang jelas untuk menjadi Perdana Menteri wanita pertama Itali.

Pilihan Raya Itali | Tinjauan dapati Meloni bakal jadi Perdana Menteri

Meloni, 45 tahun, berikrar untuk menyokong dasar Barat mengenai Ukraine dan tidak mengambil risiko yang tidak wajar dengan ekonomi ketiga terbesar di zon Euro itu.

Pilihan raya Itali diadakan susulan keruntuhan pakatan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Mario Draghi pada Julai.

Itali mempunyai sejarah ketidakstabilan politik dan Perdana Menteri seterusnya akan mengetuai kerajaan ke-68 negara itu sejak 1946.

Perdana Menteri akan menghadapi pelbagai cabaran, terutamanya kos tenaga yang melambung tinggi dan masalah ekonomi yang semakin meningkat.

Keputusan undian itu juga diperhatikan di ibu negara Eropah dan di pasaran kewangan, ketika wujud hasrat untuk mengekalkan perpaduan dalam urusan dengan Rusia dan kebimbangan terhadap hutang Itali.