GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
DUNIA

Global Sumud Flotilla: Dakwaan Israel tidak berasas, ada bukti bantuan kemanusiaan - KP SNCC

Asyraf Malik 03/10/2025 | 15:45 MYT
Sani Araby memberikan penerangan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengenai corak perjalanan konvoi kapal Global Sumud Flotilla. -Gambar Astro Awani/Abdul Wafi Norazmi
SEPANG: Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Al-Kahery menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Israel kononnya konvoi kapal Global Sumud Flotilla (GSF) tidak membawa sebarang bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Tegas beliau, dakwaan tersebut adalah cubaan Israel untuk memesongkan naratif sebenar misi flotilla, sedangkan pelbagai bukti menunjukkan kapal-kapal berkenaan sarat bantuan makanan, perubatan dan barangan asas.

“Saya nafikan apa mereka katakan. Dari awal kita sudah kongsikan di media sosial GSF dan Sumud Nusantara gambar-gambar bantuan yang dibeli dan dimuatkan dari Barcelona, Itali, Tunisia, Greece hingga ke Turkiye.

"Malah, Bulan Sabit Merah Turkiye (Kizilay) turut menambah bekalan bantuan menggunakan kapal tentera Turkiye. Daripada awal, ketika berlabuh di mana-mana, kita kongsikan gambar bantuan yang dibeli dan dimuatkan ke dalam kapal.

"Itu adalah fakta yang membuktikan misi ini membawa bantuan kemanusiaan, bukan seperti tuduhan Israel,” kata beliau dalam sidang media harian di Sumud Nusantara Command Centre, di sini, pada Jumaat.

Datuk Sani menegaskan bahawa semua delegasi Malaysia serta rakan antarabangsa telah memberikan kerjasama penuh sepanjang pelayaran, tanpa sebarang tindakan mencurigakan.

Beliau turut menolak keras dakwaan bahawa flotila membawa senjata atau ancaman keselamatan.

“Kami ditahan tanpa sebarang sebab munasabah. Tidak ada senjata dibawa, malah setiap hari kita siarkan rakaman CCTV secara langsung bagi membuktikan perjalanan ini sememangnya murni. Tuduhan Israel adalah satu pembohongan yang jelas,” tegasnya.

Beliau menambah, tujuan utama flotila bukan semata-mata menghantar bantuan, tetapi juga membangkitkan gelombang solidariti antarabangsa untuk mendesak perang dihentikan, menamatkan kebuluran di Gaza dan membuka koridor kemanusiaan Rafah.

“Rejim Zionis dalam keadaan tertekan. Naratif mereka cuba dialihkan untuk menutup pencabulan terhadap hak kemanusiaan. Kita mahu dunia fokus kepada siapa sebenarnya yang melanggar undang-undang antarabangsa, iaitu Israel.

“Fokus kita ialah bantuan dan hak kemanusiaan. Jangan biarkan naratif rejim Zionis memesongkan perhatian dunia. Malaysia akan terus berdiri bersama Gaza hingga Palestin merdeka,” ujar beliau.







#Israel #Global Sumud Flotilla #CCTV #media sosial