Global Sumud Flotilla: 443 aktivis ditahan Israel di laut antarabangsa, termasuk 15 rakyat Malaysia. Ikuti perkembangan terkini di sini
DUNIA

Global Sumud Flotilla: Israel guna bot laju, paragliding halang bantuan ke Gaza - Pelapor Khas PBB

Astro Awani 02/10/2025 | 09:00 MYT
Albanese menyifatkan tindakan Israel sebagai “kesombongan luar biasa” yang mendedahkan “kerapuhan sebenar” rejim tersebut. -Foto X
GAZA: Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Wilayah Palestin Yang Dijajah, Francesca Albanese mendedahkan bahawa Israel menggunakan pelbagai aset ketenteraan termasuk bot laju, kapal besar dan unit paragliding bagi menghalang kapal terakhir dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) daripada memasuki perairan Gaza.


Ringkasan AI
  • Pelapor Khas PBB Francesca Albanese mendedahkan Israel menggunakan bot laju, kapal besar dan unit paragliding untuk menghalang kapal terakhir flotila GSF daripada memasuki perairan Gaza.
  • Beliau menyifatkan tindakan Israel sebagai kesombongan luar biasa dan pelanggaran undang-undang antarabangsa, serta menyeru negara-negara dengan armada laut agar bertindak memecahkan sekatan.
  • Flotila GSF membawa aktivis dari lebih 40 negara untuk menghantar bantuan ke Gaza, manakala satu lagi flotila dilaporkan sedang belayar dari Sicily menuju ke wilayah tersebut.


Dalam satu hantaran di platform X, Albanese menyifatkan tindakan Israel sebagai “kesombongan luar biasa” yang mendedahkan “kerapuhan sebenar” rejim tersebut.

“Amaran. Bot laju, kapal besar dan paragliding — ini yang sedang dilancarkan Israel terhadap kapal terakhir flotila @gbsumudflotilla yang cuba sampai ke Gaza,” tulis beliau.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Flotila tersebut membawa aktivis, peguam dan ahli parlimen dari lebih 40 negara, dengan misi menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza yang kini berdepan sekatan total terhadap makanan, air dan ubat-ubatan.

Menurut Albanese, negara-negara yang memiliki armada laut seharusnya bertindak memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza.

“Jika rakyat biasa dengan bot kecil dan sumber terhad boleh sampai ke 60 batu nautika dari Gaza, mengapa negara-negara dengan tentera laut tidak bertindak?” katanya.

Beliau sebelum ini menyifatkan tindakan Israel memintas flotila bantuan sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan menyeru agar aktivis yang ditahan dibebaskan serta kapal dikembalikan segera.

Sementara itu, satu lagi flotila dilaporkan sedang belayar dari Sicily, Itali menuju ke Gaza, menandakan usaha berterusan aktivis global untuk menyalurkan bantuan dan menekan Israel agar menamatkan sekatan kejam terhadap wilayah tersebut.




#Francesca Albanese #Pelapor Khas PBB #bantuan kemanusiaan #Global Sumud Flotilla #GSF