[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Global Sumud Flotilla: Kapal terpakai hadapi isu teknikal, pesawat Israel ancam komunikasi

Asyraf Malik 17/09/2025 | 13:00 MYT
Dr. Fauziah Hassan memberikan gambaran situasi sebenar yang dihadapi konvoi Global Sumud Flotilla ketika menghampiri perairan Gaza. - Gambar fail/AP
KUALA LUMPUR: Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) berdepan pelbagai cabaran teknikal dan ancaman sekatan daripada Israel.

Jawatankuasa Pemandu Freedom Flotilla Coalition (FFC), Dr. Fauziah Hassan berkata, kebanyakan jentera digunakan dalam misi kali ini merupakan kapal terpakai hasil sumbangan dana masyarakat antarabangsa.

Jelasnya, walaupun kos lebih rendah, keadaan tersebut menyebabkan kapal sering berdepan masalah teknikal.

“Kami selalunya membeli kapal-kapal yang agak tua kerana harganya lebih murah. Sudah tentu kapal ini tidak sempurna, ada masalah enjin dan kerosakan lain yang perlu dibaiki sebelum belayar.

"Inilah cabaran kami hadapi kerana jika mahu kapal baharu, kosnya telalu tinggi. Jadi kami bergantung dengan kapal terpakai dibeli hasil sumbangan penderma seluruh dunia.

"Namun ia menuntut lebih banyak kerja pembaikan dan penyelenggaraan,” katanya kepada Astro AWANI, pada Rabu.

Selain isu teknikal, Dr. Fauziah turut mendedahkan ancaman lebih serius membabitkan kemampuan Israel memintas komunikasi konvoi kapal Flotilla.

"Rejim Zionis memiliki pesawat pengintip canggih G550 Shavit yang mampu mematikan sistem komunikasi, sistem kedudukan sejagat (GPS) dan Automatic Identification System (AIS) pada kapal GSF.

“Jika alat komunikasi dimatikan, kapal menjadi buta. Ia tidak boleh berhubung antara satu sama lain, tidak tahu arah, malah terpaksa bergantung kepada kaedah tradisional seperti menggunakan bintang di langit untuk menentukan haluan,” jelasnya.

Menurutnya, ancaman tersebut boleh meningkatkan risiko pelanggaran antara konvoi kapal GSF kerana mereka tidak dapat mengesan kedudukan masing-masing.

Justeru ujarnya, semua kru Flotilla sedang bersiap siaga dengan langkah alternatif bagi memastikan peserta dan bantuan kemanusiaan selamat tiba di Gaza.

Misi flotilla kali ini disertai lebih 50 kapal dari pelbagai negara, membawa makanan, ubat-ubatan dan bekalan asas untuk penduduk Gaza yang masih berdepan kepungan Israel.




#Global Sumud Flotilla #kapal terpakai GSF #kekejaman israel #pesawat pengintip canggih