GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
DUNIA

Global Sumud Flotilla: Lebih 300 aktivis flotila bantuan Gaza ditahan

Bernama 02/10/2025 | 12:17 MYT
Beberapa aktivis sempat memuat naik video di media sosial yang menunjukkan bot tentera Israel menghampiri konvoi dan mengarahkan mereka menukar haluan. - Foto REUTERS
ISTANBUL: Tentera laut Israel menyerang flotila bantuan antarabangsa yang menuju ke Semenanjung Gaza yang dikepung dan menahan sekurang-kurangnya 317 aktivis di atas kapal, menurut penganjur pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi.


Ringkasan AI
  • Tentera laut Israel menyerang flotila bantuan ke Gaza, menahan 317 aktivis dari 50 negara dan membawa mereka ke Pelabuhan Ashdod.
  • Sebanyak 21 kapal diserang, 19 lagi dipercayai turut diserang, manakala 4 kapal masih menuju Gaza dengan membawa bantuan kemanusiaan.
  • Penganjur menuduh Israel guna kekerasan seperti merempuh kapal, menyembur meriam air dan menaiki kapal paksa, selain memutuskan komunikasi flotila.


Menurut penjejak rasmi flotila, 21 kapal telah diserang tentera laut Israel, 19 lagi dipercayai turut diserang, manakala empat kapal masih dalam pelayaran menuju Gaza.

Aktivis yang ditahan dibawa ke Pelabuhan Ashdod di Israel sebelum dihantar pulang ke Eropah.

Global Sumud Flotilla berkata tentera Israel mengepung kapal-kapal berkenaan ketika ia belayar ke arah Gaza untuk mencabar sekatan Israel yang berlarutan sejak bertahun-tahun. Aktivis turut melaporkan gangguan isyarat dan komunikasi terputus di kebanyakan bot.

Beberapa aktivis sempat memuat naik video di media sosial yang menunjukkan bot tentera Israel menghampiri konvoi dan mengarahkan mereka menukar haluan.

Penganjur menuduh Israel menggunakan kekerasan, termasuk merempuh sebuah kapal, menyembur meriam air dan menaiki kapal secara paksa, serta "melayan tahanan yang aman dari 50 negara di seluruh dunia dengan kejam."

BACA: [LAPOR LANGSUNG] PM Anwar hubungi pemimpin dunia pastikan pembebasan peserta

Flotila itu diserang ketika berada kurang 80 batu nautika (148 kilometer) dari Gaza. Ia membawa bantuan kemanusiaan dan bekalan perubatan, selepas berlayar sejak akhir Ogos dan dijangka tiba di pantai Gaza pada Khamis pagi.

Ini merupakan kali pertama dalam beberapa tahun, lebih 50 kapal belayar bersama ke arah Gaza, dengan membawa 532 penyokong awam dari lebih 45 negara ke wilayah berpenduduk 2.4 juta orang Palestin yang berada di bawah sekatan Israel sejak kira-kira 18 tahun lalu.

Israel mengetatkan sekatan itu pada 2 Mac lalu dengan menutup semua lintasan sempadan serta menghalang kemasukan makanan, ubat-ubatan dan bantuan, sekali gus mendorong Gaza ke ambang kebuluran walaupun trak bantuan berkumpul di sempadannya.

Sejak Oktober 2023, tentera Israel telah membunuh lebih 66,100 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, melalui pengeboman berterusan yang menjadikan enklaf itu tidak lagi sesuai didiami, selain menyebabkan kebuluran dan penularan penyakit.

-- BERNAMA




#Global Sumud Flotilla #GSF #Pelabuhan Ashdod #tentera Isreal