DUNIA

Global Sumud Flotilla teruskan pelayaran menuju perairan Greece sebelum ke Gaza

Bernama 21/09/2025 | 14:00 MYT
Tuan Asri berkata konvoi flotila utama dari Itali, Tunisia dan Sepanyol sedang berlayar ke perairan Greece dan akan bergabung dengan konvoi dari negara Eropah itu. - Gambar Facebook Tuan Asri Tuan Hussein
KUALA LUMPUR: Kumpulan konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) Itali yang sebelum ini berlabuh di Teluk Portopalo di Capo Passero, perairan di selatan Itali meneruskan pelayaran hari ketiga menuju ke perairan Greece, sebelum ke Gaza.

Pengarah Media Muslim Care Malaysia Tuan Asri Tuan Hussein yang juga seorang daripada sukarelawan misi konvoi GSF, berkata konvoi flotila utama dari Itali, Tunisia dan Sepanyol sedang berlayar ke perairan Greece dan akan bergabung dengan konvoi dari negara Eropah itu.

Beliau berkata pelayaran konvoi ke perairan Greece dijangka mengambil tempoh selewat-lewatnya dua hari atau jangkaan awal tiba adalah pagi esok, namun bergantung kepada keadaan laut.

"Dari segi keadaan laut, pada hari pertama ombak agak tinggi sekitar 2.5 hingga tiga meter. Ramai di antara kami mengalami mabuk laut, termasuk saya sendiri kerana bot yang kami naik agak kecil.

"Hari ini masuk hari ketiga, keadaan laut sudah lebih tenang, ombak pun tidak setinggi sebelumnya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Tuan Asri turut berkongsi cabaran lain pelayaran kemanusiaan ke Gaza itu termasuk pergerakan serta keadaan kapal sukar dijangka.

Beliau berkata sebuah flotila, "Sirius" yang turut membawa beberapa sukarelawan dari Malaysia dilaporkan mengalami kerosakan enjin dan susulan itu pelayaran terpaksa diperlahankan bagi memastikan kapal berkenaan tidak ketinggalan.

"Walaupun semua kapal ini menggunakan layar, ada masa tertentu enjin diperlukan terutama bila angin tidak cukup kuat atau bila perlu mengejar kapal lain supaya tidak tertinggal. Jadi bila ada kapal rosak enjin, yang lain perlu perlahankan kelajuan untuk tunggu mereka," katanya.

Sementara itu, semakan di laman sesawang rasmi Global Sumud Flotilla Tracker, sejumlah lebih 40 flotila sedang berlayar dengan sebahagian besar kumpulan pelayaran itu kini berada kira-kira 400 batu nautika dari pesisir pantai Athens atau 900 batu nautika dari pesisir pantai Gaza.

Pelayaran GSF merentasi Laut Mediteranean dengan membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini, membabitkan lebih 1,000 sukarelawan yang menaiki hampir 70 bot dengan satu matlamat iaitu memecah kepungan terhadap Gaza.

Semua sukarelawan dari Malaysia bernaung di bawah panji Sumud Nusantara diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah penaung Sumud Nusantara melibatkan Malaysia, Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Filipina dan Thailand.

Pelayaran keamanan GSF diharap mampu menarik perhatian kerajaan seluruh dunia untuk memberi tekanan kepada Israel sehingga genosid terhadap Gaza dihentikan dan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk.

GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah, dengan semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta peranan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis Gaza.

-- BERNAMA




#bantuan kemanusiaan #simbol solidariti #krisis Gaza #Global Sumud Flotilla