Google dinobat tempat kerja terbaik 2016

Syafique Shuib
Mac 7, 2016 13:20 MYT
Penyelidikan oleh majalah perniagaan Fortune mengambil kira faktor seperti gaji, faedah, pengendalian pengurusan, cabaran di tempat kerja dan peluang untuk maju.
SYARIKAT gergasi internet Google sekali lagi mendahului senarai tempat terbaik untuk bekerja.
Penyelidikan oleh majalah perniagaan Fortune mengambil kira faktor seperti gaji, faedah, pengendalian pengurusan, cabaran di tempat kerja dan peluang untuk maju.
Google pada tahun lepas mempertingkatkan liputan penjagaan kesihatan dengan lawatan doktor secara virtual dan juga pemeriksaan barah payudara.
Kajian yang turut diterbitkan di laman web GreatPlaceToWork.com itu turut mendapati bahawa pekerja Google bangga untuk memberitahu orang lain mereka bekerja di syarikat gergasi itu.
Selain itu, para pekerja juga tidak kisah untuk memberikan lebih untuk memastikan tugasan selesai.
“Budaya syarikat benar-benar membuat pekerja merasakan mereka dihargai dan dihormati sebagai manusia, bukan sebagai mesin. Faedah yang diterima begitu luar biasa,” dipetik sebagai berkata kepada GreatPlaceToWork.com
Menurut beliau, antara faedah yang diterima termasuk makanan organik tiga kali sehari, snek, kelas kecergasan secara percuma, klinik, spa, salon gunting rambut dan perkhidmatan dobi.
Ini merupakan tahun ke-10 Google tersenarai sebagai antara tempat kerja terbaik, dan merupakan tahun ke-7 Google menduduki tangga pertama.
Setakat ini, Google mempunyai 37,792 kakitangan di Amerika Syarikat dan 56,300 di seluruh dunia.
Turut tersenarai dalam Top 5 adalah Acuity Insurance, The Boston Consulting Group, Wegmans Food Markets, dan Quicken Loans.
#Fortune #Syarikat gergasi internet Google sekali lagi mendahului senarai tempat terbaik untuk bekerja