Grab Singapura henti perkhidmatan 'carpool' lewat malam

Reuters
September 26, 2018 20:49 MYT
Grab mengambil pendekatan proaktif untuk memastikan pemandu dan penumpang mempunyai pengalaman memandu dan menumpang yang selamat dan positif.
Syarikat perkhidmatan e-hailing, Grab pada Rabu mengumumkan akan berhenti menawarkan perkhidmatan perkongsian kereta (car-pooling) pada lewat malam di Singapura selepas pemandu merungut mengenai penumpang yang mabuk dan suka bertengkar.
Memetik maklum balas daripada pemandu yang menceritakan insiden penumpang mabuk muntah dalam kereta mereka atau bertengkar sepanjang perjalanan, syarikat itu memutuskan untuk menghentikan perkhidmatan GrabHitch antara jam 1 pagi dan 5 pagi bermula bulan depan.
GrabHitch membolehkan pemandu kereta persendirian menawarkan perkhidmatan kepada ramai penumpang yang menuju ke tempat sama dengan satu bayaran.
GrabShare, perkhidmatan perkongsian kereta ditawarkan oleh pemandu komersil Grab, juga digantung operasi pada waktu sama sejak Jun lalu.
Sementara perkhidmatan lain yang ditawarkan syarikat itu masih beroperasi pada waktu berkenaan.
“Grab mengambil pendekatan proaktif untuk memastikan pemandu kami dan penumpang mempunyai pengalaman memandu dan menumpang yang selamat dan positif,” kata syarikat berkenaan pada Rabu.
Firma itu di Asia, berhadapan persoalan mengenai keselamatan selepas kejadian membabitkan pemandu dan penumpang tahun ini.
Firma terbesar di China, Didi Chuxing, melaksanakan langkah keselamatan selepas kemarahan orang ramai berhubung pembunuhan penumpang berusia 20 tahun oleh pemandu Didi pada Ogos, kejadian kedua sejak Mei.
#aduan #bergaduh #car-pooling #grab #GrabHitch #GrabShare #keselamatan #kongsi kereta #pemandu #penumpang mabuk #perkhidmatan #rungutan #Singapura #tengah malam