Skip to main content

Dunia

Greece keluar amaran merah susulan risiko kebakaran hutan sangat tinggi

A view of a burnt car after a wildfire in Porto Germeno, Greece, August 5, 2026. REUTERS/Fedja Grulovic
Sebuah kereta yang terbakar kelihatan selepas kebakaran hutan melanda Porto Germeno, Greece. - Foto REUTERS
Advertisement

ISTANBUL: Greece mengeluarkan "amaran merah" bagi wilayah Attica, Viotia dan Evia pada Khamis susulan risiko kebakaran hutan yang disifatkan sebagai "sangat tinggi", menurut pihak berkuasa pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Sekretariat Agung bagi Perlindungan Awam di bawah Kementerian Krisis Iklim dan Perlindungan Awam menaikkan tahap risiko kebakaran hutan kepada Kategori 4 pada 6 Ogos di ketiga-tiga wilayah itu, termasuk ibu negara Athens, menurut laporan ERT News.

Susulan amaran itu, Mekanisme Perlindungan Awam Kebangsaan akan beroperasi pada kapasiti penuh, manakala pasukan bomba, polis dan tentera akan menjalankan rondaan darat serta udara.

Sekatan pencegahan turut akan dikenakan terhadap pergerakan kenderaan dan pelawat di kawasan hutan serta lokasi lain yang berisiko.

Pihak berkuasa menggesa penduduk mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh mencetuskan kebakaran.

Amaran itu dikeluarkan ketika anggota bomba berjaya mengawal kebakaran hutan berhampiran Koropi, di tenggara Athens, pada Rabu.

Menurut Perkhidmatan Bomba, kebakaran itu tercetus di kawasan semak di Driggia kira-kira 1.45 tengah hari waktu tempatan.

Sekurang-kurangnya 52 anggota bomba, termasuk tiga unit komando hutan khas, serta 14 kenderaan dikerahkan ke lokasi.

Empat helikopter dan dua pesawat pemadam kebakaran turut menyertai operasi itu, manakala sebuah lagi helikopter menyelaraskan operasi dari udara.

Pihak berkuasa tempatan membantu operasi berkenaan dengan menyediakan lori tangki air, sementara pusat operasi memantau kebakaran menggunakan dron yang dilengkapi kamera terma dan optik.

Pasukan penyiasat kebakaran ditugaskan untuk menentukan punca kebakaran.

Sementara itu, anggota bomba turut meneruskan usaha pada Rabu untuk mengawal kebakaran hutan besar yang bermula minggu lalu di Viotia sebelum merebak ke barat Attica.

Menurut data sistem pemantauan satelit Copernicus milik Kesatuan Eropah (EU), kebakaran itu telah memusnahkan kira-kira 14,424 hektar kawasan.

Seorang juruterbang Denmark dan seorang penyelaras udara Greece maut apabila dua helikopter pemadam kebakaran bertembung di udara ketika operasi memadamkan kebakaran itu pada Ahad lalu.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement