Skip to main content

Dunia

Greece rancang larangan media sosial untuk kanak-kanak bawah 15 tahun

SOCIAL MEDIA GENERIC [ADOBE STOCK]
Kanak-kanak dan remaja sering tidak mempunyai ketahanan dalam menghadapi mekanisme platform media sosial, justeru, kata Mitsotakis, Greece mempunyai tanggungjawab khusus dalam perkara ini. - Gambar hiasan

ATHENS: Greece merancang untuk melarang kanak-kanak di bawah umur 15 tahun daripada mengakses media sosial pada masa hadapan, umum Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis di TikTok pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Beliau berkata, sebaik sahaja diluluskan oleh ahli parlimen, undang-undang baharu itu akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2027.

Advertisement

Mitsotakis yang mempunyai majoriti selesa di parlimen, menjadikan kelulusan rang undang-undang itu hampir pasti.

“Kami memutuskan untuk meneruskan sesuatu yang sukar tetapi perlu,” kata Mitsotakis.

Langkah itu bertujuan untuk melindungi golongan muda dengan lebih baik daripada kesan negatif platform digital, katanya.

Bercakap secara langsung kepada pengguna muda, Mitsotakis mengakui yang pelan itu mungkin mendapat tentangan.

“Saya pasti ramai dalam kalangan golongan muda akan marah kepada saya sekarang, pada usia anda, saya mungkin merasakan perkara yang sama. Tetapi tugas kami bukan untuk menyenangkan hati,” katanya.

"Jika media sosial menyebabkan seseorang berasa tertekan atau memandang rendah terhadap diri sendiri, “maka wajar untuk menetapkan had,” katanya.

Mitsotakis turut mengkritik “struktur ketagihan” banyak platform, yang menurutnya perlu diubah.

Kanak-kanak dan remaja sering tidak mempunyai ketahanan dalam menghadapi mekanisme platform ini, justeru, katanya negara mempunyai tanggungjawab khusus dalam perkara ini.

Beliau turut menyatakan harapan agar negara anggota Kesatuan Eropah (EU) lain akan mengikuti langkah Greece.

Dalam sepucuk surat kepada Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, Mitsotakis menyeru agar satu rangka kerja Eropah yang seragam diwujudkan menjelang akhir tahun ini, kerana langkah di peringkat negara sahaja tidak mencukupi.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video