INTERNATIONAL
Grid Tenaga ASEAN: Malaysia, Singapura, Vietnam tandatangan perjanjian

Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perjanjian itu merupakan permulaan penting yang mana butiran terperinci akan dibicangkan selepas ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia, Vietnam dan Singapura hari ini memeterai perjanjian melibatkan projek Grid Tenaga ASEAN yang disifatkan sebagai satu kerjasama penting di rantau ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perjanjian itu merupakan permulaan penting yang mana butiran terperinci akan dibicangkan selepas ini.
“Ini baru permulaan, selepas ini aspek teknikal perlu dibincangkan. Modul bisnes dan selanjutnya akan dibincangkan lebih terperinci.
“Ia akan menjadi sebahagian daripada Rangkaian Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid),” katanya ringkas.Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat dua hala majlis pertukaran perjanjian Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (RESA) antara syarikat-syarikat dari Malaysia, Singapura dan Vietnam.
Tambah beliau lagi, melalui perpanjian itu, ia melibatkan fasa pertama projek darat dan dasar laut yang mana kabel dasar laut akan dibangunkan pihak Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek mega Grid Tenaga ASEAN yang menghubungkan kabel dasar laut dari Vietnam ke Semenanjung Malaysia dan seterusnya ke Singapura dilihat sebagai pencapaian paling signifikan Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini.
Menurut beliau, ia bukan sekadar pengumuman retorik, tetapi diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan program dan projek, sejajar dengan dasar peralihan tenaga negara.
Dalam masa sama, Malaysia bersetuju dengan cadangan Laos supaya fasa kedua projek Grid Tenaga ASEAN disegerakan bagi memberi manfaat kepada negara anggota blok berkenaan.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami