Skip to main content

Dunia

GSF 2.0: Dua aktivis Global Sumud Flotilla dihadap ke mahkamah Israel

hiago de Avila and Saif Abu Keshek_Astro AWANI
Avila (kanan) mendakwa dipukul sehingga tidak sedarkan diri sebanyak dua kali, manakala Abu Keshek (kiri) mendakwa matanya ditutup dan tangannya diikat sejak mula ditahan.

ASHKELON: Dua aktivis kemanusiaan asing daripada Global Sumud Flotilla yang ditahan oleh tentera Israel di perairan antarabangsa dilapor telah dihadapkan ke mahkamah di sini, hari ini.

Aktivis berkenaan, Saif Abu Keshek yang merupakan warga Sepanyol dan Thiago Avila dari Brazil, hadir di mahkamah di sini selepas dibawa ke Israel untuk sesi soal siasat, lapor France 24.

Advertisement

Pihak pendakwaan dilapor memohon kepada mahkamah supaya tempoh tahanan reman ke atas kedua-dua individu itu dilanjutkan selama empat hari lagi, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Menurut wakil kumpulan hak asasi Adalah, kedua-dua aktivis itu mendakwa telah dikasari oleh tentera Israel ketika serbuan ke atas kapal mereka berhampiran Pulau Crete, Greece pada Khamis lalu.

Avila dilaporkan mendakwa beliau telah dipukul sehingga tidak sedarkan diri sebanyak dua kali, manakala Abu Keshek mendakwa matanya ditutup dan tangannya diikat sejak mula ditahan.

Sementara itu, Kementerian Luar Israel dalam satu kenyataan mendakwa kedua-dua aktivis berkenaan mempunyai kaitan dengan pertubuhan Popular Conference for Palestinians Abroad (PCPA), yang didakwa bertindak bagi pihak Hamas.

 

 

Bagaimanapun, dakwaan tersebut ditolak keras oleh kerajaan Sepanyol dan Brazil, yang menyifatkan penahanan rakyat mereka sebagai tidak sah di bawah undang‑undang antarabangsa.

Kedua-dua aktivis itu dilapor sedang melancarkan mogok lapar sebagai tanda protes terhadap layanan buruk yang diterima sepanjang berada dalam tahanan di Penjara Shikma, Israel.

Must Watch Video