[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

GSF berdepan intimidasi dron, letupan di Laut Mediterranean

Astro Awani 24/09/2025 | 00:45 MYT
Insiden berlaku kira-kira 750 batu nautika dari Gaza; semua 34 delegasi Malaysia dilaporkan selamat dan bersiap siaga.
KUALA LUMPUR: Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) berdepan cubaan intimidasi apabila lebih 15 dron dilaporkan berlegar rendah di atas bot Alma serta beberapa kapal pengiring di Laut Mediterranean.


Ringkasan AI
  • Lebih 15 dron berlegar rendah dan lapan letupan berlaku berhampiran kapal flotilla GSF di Laut Mediterranean, dipercayai cubaan intimidasi.
  • Insiden berlaku kira-kira 750 batu nautika dari Gaza; semua 34 delegasi Malaysia dilaporkan selamat dan bersiap siaga.
  • Seramai 500 sukarelawan dari 45 negara menaiki 53 kapal menuju Gaza untuk menghantar bantuan makanan dan keperluan asas.


Dalam masa sama, lapan letupan udara turut berlaku, dipercayai sebagai bentuk ugutan terbuka terhadap pelayaran tersebut.

Menurut Laporan Situasi (SITREP) yang dikeluarkan Sumud Nusantara Command Center – MAPIM Central pada jam 6.15 pagi tadi, insiden itu berlaku ketika flotilla berada di zon kelabu perairan Greece, kira-kira 750 batu nautika dari Gaza.

Laporan sama turut memaklumkan bahawa sebanyak 15 dron rejim berlegar rendah setiap 10 minit, dipercayai bertujuan melakukan intimidasi dan risikan.

“Terdapat lapan letupan udara berhampiran kapal kami serta kapal-kapal lain di sekeliling. Namun begitu, kesemua 34 delegasi Malaysia kekal selamat dan berada dalam keadaan bersiap-siaga penuh,” menurut kenyataan tersebut.

Pihak sekretariat percaya gangguan oleh dron-dron berkenaan bertujuan mengumpul maklumat risikan serta menakutkan pasukan flotilla.

Setakat ini, lebih 500 sukarelawan GSF dari 45 negara, termasuk 34 delegasi dari Malaysia, menaiki 53 buah kapal bersama tiga kapal pemerhati menuju ke Semenanjung Gaza bagi menghantar bantuan makanan dan keperluan asas.




#Greece #Gaza #letupan #Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla GSF #Sumud Nusantara Command Center