GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
DUNIA

GSF: Palestin kecam serangan Israel ke atas flotila Gaza

Bernama 02/10/2025 | 12:15 MYT
Palestin pada Khamis mengecam serangan Israel yang menyasarkan konvoi bantuan global ke Gaza di perairan antarabangsa. - Gambar fail/REUTERS
ISTANBUL: Palestin pada Khamis mengecam serangan Israel yang menyasarkan konvoi bantuan global ke Gaza di perairan antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Ringkasan AI
  • Palestin mengecam serangan Israel terhadap flotila bantuan GSF di perairan antarabangsa sebagai pelanggaran undang-undang laut dan hak asasi manusia, serta menuntut perlindungan antarabangsa untuk lebih 470 peserta.
  • Kementerian Luar Palestin menegaskan Israel tiada kedaulatan ke atas perairan Gaza dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak sah menurut Konvensyen UNCLOS dan pengisytiharan Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
  • Tentera laut Israel menyerang 21 kapal GSF dan menahan sekurang-kurangnya 317 aktivis, yang kini dibawa ke Pelabuhan Ashdod untuk diusir ke Eropah, walaupun flotilla hanya membawa bantuan kemanusiaan.


"Negara Palestin mengecam serangan dan pencerobohan Israel terhadap Global Sumud Flotilla (GSF) yang melanggar undang-undang dan norma antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS), prinsip kemanusiaan lain serta hak asasi manusia para peserta di atas kapal," menurut kenyataan Kementerian Luar.

Kementerian itu menyatakan kebimbangan serius Palestin mengenai keselamatan lebih 470 peserta, sambil menegaskan Israel "bertanggungjawab ke atas keselamatan dan kesejahteraan peserta konvoi ketika mereka menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk yang dikepung, kebuluran dan dibom di bawah ancaman genosid."

Kenyataan itu mengulangi bahawa misi kemanusiaan global berkenaan merupakan inisiatif aman yang diterajui orang awam dan mempunyai hak laluan bebas di perairan antarabangsa.

Israel "tidak mempunyai sebarang kuasa atau kedaulatan ke atas perairan wilayah Palestin, yang meliputi perairan dari Semenanjung Gaza sehingga ke perairan antarabangsa," kata kementerian itu, sambil menekankan pengisytiharan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa pendudukan Israel adalah tidak sah.

Palestin menyeru masyarakat antarabangsa agar memberikan perlindungan kepada peserta GSF yang berani.

Tentera laut Israel telah menyerang 21 kapal GSF sejak lewat Rabu dan menahan sekurang-kurangnya 317 aktivis, menurut penjejak rasmi flotila.

Aktivis yang ditahan itu dibawa ke Pelabuhan Ashdod di Israel, dari situ mereka akan diusir ke Eropah, menurut Kementerian Luar Israel.

Flotila itu yang sebahagian besarnya membawa muatan bantuan kemanusiaan dan bekalan perubatan, berlayar beberapa hari lalu untuk memecahkan sekatan Israel.

Ini menandakan kali pertama dalam beberapa tahun puluhan kapal berlayar bersama menuju Gaza dan berjaya menghampiri wilayah itu sedekat ini, yyang telah berada di bawah sekatan Israel selama kira-kira 18 tahun.

-- BERNAMA





#GSF #flotila bantuan #perairan antarabangsa #Palestin kecam serangan Israel