DUNIA

Guatemala catat penurunan deportasi 23 peratus, 55,000 warga dihantar pulang sepanjang 2025

Agensi 31/12/2025 | 00:40 MYT
Guatemala dijangka menutup tahun 2025 dengan kira-kira 55,000 warganya dihantar pulang dari Amerika Syarikat (AS) dan Mexico sekali gus mencatatkan penurunan 23 peratus berbanding 76,000 pada tahun sebelumnya.- Gambar Reuters
GUATEMALA CITY: Guatemala dijangka menutup tahun 2025 dengan kira-kira 55,000 warganya dihantar pulang dari Amerika Syarikat (AS) dan Mexico sekali gus mencatatkan penurunan 23 peratus berbanding 76,000 pada tahun sebelumnya.

Jurucakap Institut Migrasi Guatemala, Maria del Mar Mazariegos memaklumkan daripada jumlah itu, sekitar 48,000 dihantar pulang oleh AS manakala selebihnya dari Mexico.

"Kesemua mereka menjalani proses pendaftaran dan mengambil barang peribadi di Pusat Sambutan Kepulangan di Guatemala City," katanya.

Dalam pada itu, seorang individu yang dihantar pulang, Marvin Guillermo Orozco Maldonado, berkongsi pengalaman ditahan di AS ketika berada di sebuah kedai dobi.

Guillermo berkata, pihak berkuasa bertanya sama ada mempunyai dokumen AS, dan selepas menjawab tidak, dia dimaklumkan telah ditahan.

Sejak memegang jawatan pada 20 Januari, Presiden AS Donald Trump meningkatkan jumlah migran yang dihantar pulang ke negara-negara Amerika Latin, termasuk menggunakan pesawat tentera untuk penerbangan repatriasi. - Agensi






#Amerika Syarikat #Donald Trump #Guatemala #jumlah migran