DUNIA

Guna makanan sebagai senjata "strategi kejam" nafi hak untuk hidup - Pope Leo XIV

Bernama 17/10/2025 | 13:00 MYT
POPE LEO XIV: Kesenyapan mereka yang mati kelaparan membangkitkan suara nurani kemanusiaan. - Gambar fail/AP
ISTANBUL: Pope Leo XIV mengecam penggunaan makanan sebagai senjata perang, menyifatkannya sebagai "strategi kejam" yang menafikan hak asasi manusia untuk hidup serta menggesa para pemimpin dunia bertindak tegas bagi menamatkan masalah kebuluran, lapor Anadolu Ajansi memetik portal berita Holy See.


Ringkasan AI
  • Pope Leo XIV mengecam penggunaan makanan sebagai senjata perang dan menyifatkannya sebagai tindakan kejam yang menafikan hak untuk hidup.
  • Beliau menggesa pemimpin dunia bertindak menghentikan kebuluran yang sengaja diwujudkan di zon konflik seperti Gaza, Ukraine dan Yaman.
  • Pope Leo XIV menekankan keperluan kerjasama global dan tanggungjawab moral untuk melindungi orang awam serta menjamin keselamatan makanan.


Berucap di ibu pejabat Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Rom pada Khamis sempena Hari Makanan Sedunia dan ulang tahun ke-80 agensi itu, ketua Gereja Roman Katolik itu mengutuk trend peningkatan penggunaan kebuluran sebagai alat dalam konflik moden.

"Makanan tidak boleh sekali-kali menjadi senjata," kata Pope Leo XIV sambil memberi amaran bahawa tindakan sedemikian "menafikan hak paling asas lelaki, wanita dan kanak-kanak - iaitu hak untuk hidup," lapor Vatican News, saluran rasmi Holy See.

Mengingatkan bagaimana Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebelum ini telah mengklasifikasikan kebuluran sebagai jenayah perang, beliau kesal kerana "konsensus itu kini seolah-olah telah pudar."

"Kesenyapan mereka yang mati kelaparan membangkitkan suara nurani kemanusiaan," kata Paus Leo XIV.

Kenyataan Pope Leo XIV itu dibuat ketika berjuta-juta orang di zon konflik termasuk Gaza, Ukraine, Yaman dan rantau Sahel berdepan kekurangan makanan yang teruk -- sering kali secara disengajakan. Beliau menggesa kerajaan dan pertubuhan antarabangsa untuk menegakkan tanggungjawab moral, melindungi orang awam dan memastikan keselamatan makanan untuk semua.

Ucapan Pope Leo XIV itu adalah sebahagian daripada seruan yang lebih luas untuk memperbaharui kerjasama global dan kepimpinan beretika, sambil menekankan bahawa "manusia mesti sentiasa didahulukan berbanding keuntungan."

-- BERNAMA



#Pope Leo XIV #makanan sebagai senjata perang #strategi kejam #Gaza