Gunung Agung: Lapangan terbang Lombok kembali beroperasi

Agensi
Disember 1, 2017 03:20 MYT
Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok kembali beroperasi. - Gambar fail
Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok (LIA) kembali beroperasi hari ini (Jumaat) pada jam 8.50 pagi waktu tempatan, selepas sebelum ini ditutup akibat aktiviti Gunung Agung yang memuntahkan abu tebal.
Perkara itu disahkan Pengurus Besar Angkasa Pura 1, LIA, Gusti Ngurah Ardita dalam satu kenyataan, lapor media Indonesia.
Sejurus lapangan terbang itu dibuka, semua operasi penerbangan keluar dan masuk ke LIA diteruskan seperti biasa.
Keputusan itu dibuat setelah pihak pengurusan dan pihak berkepentingan menilai data meteorologi selain faktor-faktor lain berkaitan perkembangan Gunung Agung.
Sementara itu, Ketua Stesen Meteorologi, Oral Sem Wilar, berkata pergerakan abu gunung berapi dilihat sudah menjauhi Pulau Lombok, lapor Kompas.com.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Pelancongan Nusa Tenggara Barat menjelaskan pihaknya sudah menjalankan langkah bagi membantu ratusan para pelancong asing yang terkandas akibat penutupan lapangan terbang, lapor Tempo.co.
Antara penerbangan yang sebelum ini terjejas adalah Silk Air yang membawa penumpang dalam laluan Singapura-Lombok dan AirAsia yang menghubungkan Kuala Lumpur-Lombok.
#gunung agung abu gunung berapi #lapangan terbang #Lombok #pelancong