Skip to main content

Dunia

Gunung Anak Krakatau kembali meletus

The Mount Anak Krakatau volcano erupts in Anak Krakatau, Lampung province, Indonesia, September 5, 2026, in this screengrab obtained from a social media video. @ASDIN88/Instagram/via REUTERS THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY. MANDATORY CREDIT. NO RESALES. NO ARCHIVES. VERIFICATION - Date and location verified by metadata on the original file - Mountains, shoreline and vegetation match satellite images - Terrain matched topography mapping
Gunung Anak Krakatau kembali meletus awal Rabu ketika aktiviti gunung berapi yang terletak di Selat Sunda itu terus berlanjutan susulan beberapa letusan baru-baru ini. - Gambar fail/ Reuters
Advertisement

JAKARTA: Gunung Anak Krakatau kembali meletus awal Rabu ketika aktiviti gunung berapi yang terletak di Selat Sunda itu terus berlanjutan susulan beberapa letusan baru-baru ini.

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia (PVMBG) memaklumkan, letusan berlaku pada 12.47 pagi waktu tempatan dan direkodkan selama 28 saat dengan amplitud seismik maksimum 51 milimeter, manakala ketinggian letusan tidak dapat diperhatikan.

Sementara itu, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) berkata, analisis imej satelit Himawari-9 pada 7 pagi Rabu menunjukkan abu gunung berapi dari Anak Krakatau mencapai ketinggian sehingga 7,000 kaki dan bergerak ke arah barat laut, meliputi sebahagian Teluk Lampung.

“Orang ramai, khususnya mereka yang berada di sekitar selatan Lampung dinasihatkan supaya terus berwaspada, tidak panik dan mendapatkan maklumat rasmi daripada BMKG, PVMBG, Badan Geologi serta pihak berkuasa tempatan,” menurut catatan terbaharunya di media sosial.

Letusan pada Rabu itu menyusuli tiga letusan yang direkodkan pada Selasa, selepas fasa letusan berterusan selama kira-kira 25 jam bermula 11.07 malam Jumaat reda sejurus selepas tengah malam Ahad.

Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda antara Pulau Jawa dan Sumatera kekal pada Tahap III, tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran gunung berapi empat peringkat Indonesia, manakala pihak berkuasa memberi amaran bahawa potensi untuk berlaku letusan susulan masih tinggi.

PVMBG menerusi laman sesawangnya melaporkan tiga lagi gunung berapi di Indonesia turut merekodkan letusan pada Rabu.

Gunung Semeru di Jawa Timur meletus pada 12.15 pagi dan sekali lagi pada 5.11 pagi, namun ketinggian letusan tidak dapat diperhatikan.

Gunung Ili Lewotolok di Nusa Tenggara Timur pula meletus tiga kali pada 5.03 pagi, 5.56 pagi dan 9.51 pagi, menghamburkan abu setinggi antara 400 hingga 600 meter dari puncak yang bergerak ke arah barat laut dan barat.

Sementara itu, Gunung Ibu di Maluku Utara meletus pada 5.27 pagi dan 9.19 pagi, dengan abu masing-masing mencapai 400 meter dan 600 meter dari puncak serta bergerak ke arah timur laut dan timur.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement