Skip to main content

Dunia

Gunung berapi Kilauea di Hawaii meletus semula, pancutan lava cecah 300 meter

Sumber: REUTERS
Setakat ini, letusan kekal terhad dalam kawah Kilauea dan tidak mengancam penempatan penduduk. - Foto REUTERS

HAWAII: Gunung berapi Kilauea, salah satu gunung berapi paling aktif di dunia, kembali meletus pada Selasa dengan pancutan lava menjulang sehingga 300 meter, menurut laporan media Amerika Syarikat dan kenyataan rasmi pihak berkuasa geologi.

Letusan terbaharu itu menandakan episod ke43 sejak siri letusan bermula pada Disember 2024.

Advertisement

Lava yang meletus dari beberapa liang letusan di kawah Halemaʻumaʻu menghasilkan pancutan setinggi 300 hingga 350 meter, malah rekod maksimum lebih 400 meter turut direkodkan oleh Pemerhatian Gunung Berapi Hawaii (HVO) di bawah USGS.

Pihak berkuasa menutup sebahagian Hawaii Volcanoes National Park serta Lebuhraya 11, laluan penting di pulau itu, ekoran hujan debu dan serpihan berapi (tephra) yang jatuh ke kawasan sekitar.

Debu dan serpihan kaca berapi itu dikhuatiri mengganggu pernafasan, mencederakan mata, dan merosakkan sistem tangkapan air hujan yang biasa digunakan penduduk tempatan.

Jabatan Cuaca Kebangsaan (NWS) turut mengeluarkan amaran jatuhan debu, sementara pusat pemindahan dibuka oleh agensi pertahanan awam Hawaii bagi mereka yang terjejas.

Setakat ini, letusan kekal terhad dalam kawah Kilauea dan tidak mengancam penempatan penduduk.

Rakaman langsung daripada USGS menunjukkan dua pancutan lava besar dengan kepulan asap tebal yang menutupi langit kawasan taman negara tersebut.

USGS melaporkan bahawa angin berubah-ubah menyebabkan asap dan debu beralih ke arah utara, berpotensi menjejaskan beberapa komuniti berhampiran.

Kilauea telah beberapa kali meletus dalam tempoh setahun lalu dalam siri letusan berselang-seli yang kadangkala berlarutan selama beberapa jam atau beberapa hari.

Gunung berapi ini terkenal dengan pancutan lava dramatik yang menarik perhatian saintis dan pelancong dari seluruh dunia.

Walaupun letusan kali ini tidak mengancam struktur awam atau kediaman, pihak berkuasa memberi amaran bahawa keadaan boleh berubah dengan cepat, dan orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi arahan keselamatan serta kemaskini rasmi USGS.

 

 

Must Watch Video