DUNIA

Gunung berapi Lewotobi Laki-Laki meletus, tahap amaran dinaikkan ke paras tertinggi

Astro Awani 20/09/2025 | 08:30 MYT
Gunung berapi Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores, Indonesia, meletus beberapa kali sejak malam Jumaat, memuntahkan abu setinggi enam kilometer. -Foto X @badangeologi_
JAKARTA: Gunung berapi Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores, Indonesia, meletus beberapa kali sejak Jumaat malam, memuntahkan abu dan bahan vulkanik setinggi enam kilometer ke udara selepas pihak berkuasa menaikkan tahap amaran kepada paras tertinggi.


Ringkasan AI
  • Gunung berapi Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores, Indonesia, meletus beberapa kali sejak malam Jumaat, memuntahkan abu setinggi enam kilometer dan memaksa pihak berkuasa menaikkan tahap amaran ke paras tertinggi.
  • Penduduk dan pelancong dinasihatkan menjauhi kawasan dalam lingkungan enam kilometer dari kawah, manakala Lapangan Terbang Frans Seda di Maumere menggantung operasi penerbangan sebagai langkah berjaga-jaga.
  • Gunung ini merupakan sebahagian daripada Lingkaran Api Pasifik dan letusan kali ini adalah antara yang paling kuat, dengan risiko banjir lahar jika hujan lebat berlaku di kawasan sekitar.


Menurut kenyataan Badan Geologi Indonesia, letusan terbesar berlaku pada pukul 10.46 malam waktu tempatan, diikuti beberapa letusan lain pada pagi Sabtu yang menghasilkan kolum abu setinggi 2.5 kilometer.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Pihak berkuasa memberi amaran abu vulkanik boleh menjejaskan operasi penerbangan dan laluan udara berhampiran kawasan gunung berapi tersebut.

Ketua Badan Geologi, Muhammad Wafid, menasihatkan penduduk dan pelancong agar menjauhi kawasan dalam lingkungan enam kilometer dari kawah, dan lebih berhati-hati di kawasan sungai berdekatan yang berisiko dilanda banjir lahar sekiranya hujan lebat berlaku.

Lapangan terbang Frans Seda di Maumere, yang terletak di Pulau Flores, telah menggantung operasi penerbangan domestik sebagai langkah berjaga-jaga.

Pihak berkuasa akan menilai semula keadaan pada 21 September sebelum membuat keputusan untuk membuka semula lapangan terbang tersebut.

Gunung Lewotobi Laki-Laki berketinggian 1,584 meter dan merupakan pasangan kepada gunung Lewotobi Perempuan yang lebih tinggi dan tenang.

Kedua-duanya terletak di kawasan yang aktif secara seismik dalam Lingkaran Api Pasifik, menjadikan Indonesia antara negara paling terdedah kepada aktiviti gunung berapi dan gempa bumi.












#gunung berapi #Lewotobi Laki-laki #meletus #tahap amaran paras tertinggi