Gunung Berapi Popocatepetl yang terletak di antara negeri Puebla dan Morelos di Mexico sekali lagi menghamburkan abu ke udara pada Ahad.

Susulan itu pusat pencegahan bencana kebangsaan mengeluarkan amaran kepada orang awam untuk menjauhkan diri dari lokasi gunung berapi tersebut.

Ia kerana aktiviti gunung berapi tersebut dijangka terus aktif setelah mencatat 183 kali pelepasan asap dan abu panas dalam tempoh 24 jam.

Sementara itu, Pusat Pencegahan Bencana Kebangsaan kini turut memantau aktiviti gegaran impak daripada letusan tersebut.

Antara lain ahli geofizik turut melaporkan aktiviti gunung berapi terus meningkat sejak gempa bumi berukuran 7.1 magnitud melanda Mexico pada September tahun lalu.

Popocatepetl atau lebih dikenali sebagai Don Goyo mula aktif sejak 1994.