DUNIA

Gunung Lewotobi di Indonesia meletus, cetus amaran keselamatan

Bernama 07/07/2025 | 09:58 MYT
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia (PVMBG) telah menaikkan tahap amaran kepada Tahap Empat - yang tertinggi pada skala. - Gambar fail/Reuters
JAKARTA: Letusan kuat Gunung Lewotobi Laki-Laki di daerah Flores Timur, Indonesia pada Isnin mencetuskan amaran bahaya apabila abu tebal dan batu kerikil yang jatuh mengancam penduduk berhampiran.


Ringkasan AI
  • Gunung berapi di Flores Timur meletus pada 7 Julai 2025, memuntahkan abu dan batu kerikil setinggi 18 km dari puncak, mencetuskan suasana gelap dan bahaya kepada penduduk sekitar.
  • PVMBG menaikkan status gunung ke Tahap Empat (Awas) dan melarang sebarang aktiviti dalam radius 6 km dari kawah serta hingga 7 km di sektor barat daya hingga timur laut.
  • Penduduk dinasihatkan menghentikan semua aktiviti berhampiran gunung, memakai pelitup muka, dan bersedia untuk berpindah jika keadaan bertambah buruk.


Letusan pada 11.05 pagi waktu tempatan itu memuntahkan awan mengandungi abu berwarna kelabu hingga hitam dan berintensiti tinggi sehingga 18 kilometer dari puncak gunung dengan serpihan gunung berapi dilaporkan jatuh di kawasan sekitar.

Pos Pemerhatian Gunung Lewotobi Laki-Laki mengesahkan letusan masih berterusan dan menasihatkan penduduk di lereng gunung menghentikan semua aktiviti serta bersiap sedia untuk berpindah jika keadaan bertambah buruk.

"Mereka yang terjejas akibat hujan abu dinasihatkan memakai pelitup muka atau menutup hidung dan mulut untuk mengelakkan bahaya pernafasan yang disebabkan oleh abu gunung berapi," menurut laporan itu.

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia (PVMBG) telah menaikkan tahap amaran kepada Tahap Empat - yang tertinggi pada skala - dan menggesa penduduk serta pelancong mengelakkan semua aktiviti dalam radius enam kilometer dari kawah serta hingga tujuh kilometer di sektor barat daya hingga timur laut.

-- BERNAMA





#Gunung Lewotobi #meletus lagi #amaran bahaya #Indonesia